Sunday, March 16, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    151 terima bintang kebesaran negara Hari keputeraan ke-73

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan mengurniakan bintang-bintang kebesaran Negara Brunei Darussalam kepada 151 orang penerima di Istana Nurul Iman.

    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.

    Juga berangkat dan hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, timbalan-timbalan menteri dan pengiran-pengiran peranakan serta para pegawai kanan kerajaan.

    Majlis pengurniaan bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-73 tahun itu didahului dengan pengurniaan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Ketiga (S.M.B) kepada 25 penerima.

    Mendahului menerima bintang kebesaran Negara Brunei Darussalam S.M.B ialah Awang Muhammad Firdaus bin Abdullah Chong@ Chong Pit Wha, Awang Khalidi bin Haji Suhaimi dan Inspektor Kanan Awang Omar bin Haji Bahar.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan berangkat ke majlis pengurniaan bintang-bintang kebesaran negara. – Gambar oleh Infofoto
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan bintang-bintang kebesaran Negara Brunei Darussalam kepada 151 penerima sempena Hari Keputeraan Baginda ke-73 tahun di Istana Nurul Iman, kelmarin.
    ATAS & BAWAH: KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan pingat kepada para penerima.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan berangkat ke majlis mengurniakan bintang-bintang kebesaran negara.
    Gambar ramai penerima pingat P.S.B. dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
    Pengiran Hajah Hasnah ketika ditemu bual oleh media.
    Hajah Raminah ketika ditemu bual oleh media.

    Ini diikuti dengan pengurniaan Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Keempat (S.U.B) kepada tujuh penerima dengan didahului oleh Haji Sufri bin Haji Tengah dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Baginda Sultan kemudian berkenan mengurniakan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat (P.S.B) kepada 105 penerima yang termasuk Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke ASEAN di Jakarta, Puan Yang Terutama Hajah Kasmalati binti Dato Seri Laila Jasa Haji Mohamad Kassim.

    Turut dikurniakan bintang P.S.B ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman dan Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii.

    Sementara itu, seramai 14 orang telah dikurniakan Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Kelima (P.U.B) yang terdiri daripada para pegawai dari KHEU.

    Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Beberapa orang penerima yang ditemui sejurus majlis pengurniaan berkenaan, melahirkan ucapan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan bintang-bintang kebesaran.

    Salah seorang penerima bintang S.M.B, Hajah Raminah binti Haji Talip yang bertugas di Pusat Pergigian Negara, Berakas, melahirkan ucapan menjunjung kasih Baginda di atas pengurniaan bintang kebesaran berkenaan.

    Beliau yang telah berkhidmat di pusat berkenaan lebih 45 tahun sejak 1971, berkata bahawa bidang pergigian di negara ini jelas memperlihatkan satu perkembangan yang amat baik dari pelbagai aspek.

    Dalam pada itu, beliau turut berkata, “Untuk menjayakan sesuatu kerja itu perlunya ada kerja berpasukan untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti terutama dalam memberi penekanan kepada kesihatan mulut dan gigi.”

    Menurutnya, dengan bintang kebesaran yang diterima itu, ia akan menjadi pemangkin untuk terus berusaha meningkatkan diri untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik lagi.

    Sementara itu, Pengiran Hajah Hasnah bin Pengiran Haji Bakar menerima P.S.B setelah berkhidmat lebih 35 tahun di Jabatan Tanah berkata, penerimaan bintang kebesaran berkenaan merupakan yang ketiga di mana sebelum ini beliau pernah menerima Pingat Indah Kerja Baik (P.I.K.B) dan Pingat Kerja Lama (P.K.L).

    Dengan menerima bintang kebesaran P.S.B berkenaan, tambahnya, akan menjadi pemangkin dan contoh kepada anak-anak untuk memberi khidmat dengan penuh jujur dan ikhlas. Beliau turut melahirkan rasa syukur atas pengurniaan bintang berkenaan sekali gus ia memberi kenangan yang berharga kerana usaha dan khidmat yang disumbangkan selama 38 tahun dihargai.

    “Untuk mencapai semua ini, perlunya ada sifat jujur, ikhlas dan amanah di samping mempunyai minat untuk bekerja, walaupun kadang-kadang susah untuk dihadapi tapi berbekalkan minat kepada sesuatu pekerjaan, ianya akan menjadi mudah,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda