Thursday, January 16, 2025
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    2 kes baharu, lebih ramai sembuh

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Negara Brunei Darussalam mengesahkan dua lagi kes baharu koronavirus COVID-19 di negara ini, menjadikan keseluruhan dijangkiti adalah 129 orang, manakala kes yang sembuh pula bertambah tujuh orang, menjadikan mereka yang dibenarkan pulang adalah 45 orang.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengumumkan perkara itu pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

    Menurut Yang Berhormat Dato, kes 128 berumur 36 tahun merupakan isteri kepada kes 111. Beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan mula bergejala pada 27 Mac lalu.

    Manakala kes 129 berumur 25 tahun telah pulang dari Phuket, Thailand pada 20 Mac lalu menaiki pesawat BI520 (tempat duduk 33H) dan mula bergejala pada 30 Mac.

    Yang Berhormat Dato turut menyampaikan berita gembira apabila tujuh lagi kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan telah disahkan sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah, membawa jumlah keseluruhan yang telah sembuh kepada 45 orang. Ini bermakna terdapat 83 kes sahaja yang masih dirawat di pusat tersebut setakat ini.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika mengumumkan statistik terkini jangkitan COVID-19 di negara ini.

    “Daripada jumlah tersebut, tiga orang masih dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin pernafasan di Unit Rawatan Intensif pusat itu, di mana salah seorang daripadanya sekarang memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO).

    Sementara itu, seorang lagi masih di dalam pemantauan rapi dan selebihnya dalam keadaan yang baik,” kongsinya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham juga mengongsikan bahawa pada masa ini, seramai 854 orang sedang menjalani kuarantin, mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

    Manakala seramai 1,424 orang telah menamatkan tempoh kuarantin dan dalam keadaan yang baik. Sejak awal Januari 2020, sebanyak 6,421 ujian makmal bagi COVID-19 telah dijalankan, yang membawa kepada nisbah 1 orang dalam 67 penduduk negara ini telah dibuat pemeriksaan.

    Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 (pada bila-bila masa) atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda