Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    23 korban serangan udara Israel di Lubnan

    BAITULMUQADDIS, 24 NOV – Israel membunuh 23 orang dan mencederakan 45 yang lain dalam siri serangan udara yang menyasarkan beberapa bandar di wilayah Baalbek, timur Lubnan kelmarin, lapor media kerajaan dan Kementerian Kesihatan.

    Menurut Agensi Anadolu, sekurang-kurangnya 13 orang, termasuk empat kanak-kanak terbunuh dan 13 yang lain cedera apabila jet pejuang Israel menyerang sebuah rumah di bandar Shmustar.

    Agensi Berita Kebangsaan Lubnan melaporkan antara mangsa yang terkorban ialah seorang ibu dan empat anaknya selain lima lagi mangsa kehilangan nyawa dan lima lagi cedera di bandar Bodai.

    Empat orang turut dilaporkan terbunuh manakala tiga yang lain cedera di bandar Flawiye manakala seorang lagi maut di bandar Brital.

    Serangan udara berkenaan turut mencederakan 18 orang di bandar Ras al-Ain dan tiga yang lain cedera di bandar Hourtala.

    Sementara di daerah Zahle, wilayah Bekaa, serangan udara Israel di kawasan Harat al-Fikani membunuh seorang dan mencederakan tiga yang lain.

    Israel yang terlibat dalam peperangan rentas sempadan dengan Lubnan, telah melancarkan kempen udara pada akhir September.

    Sejak Oktober lepas, lebih 3,600 orang telah terbunuh akibat serangan Israel di Lubnan, dengan lebih 15,300 cedera dan lebih 1 juta penduduk terpaksa berpindah, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan. – Bernama

    Letupan dari bangunan yang terkena dalam serangan udara Israel di Chiyah, di pinggir selatan Beirut, Lubnan, pada 22 November lalu. Satu lagi serangan kelmarin mengorbankan 23 mangsa dan mencederakan 45 yang lain.  – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda