Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Seramai 28 murid, terdiri daripada 12 murid lelaki dan 16 murid perempuan, Sekolah Ugama (SU) Delima Satu diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran setelah berjaya menamatkan pembacaan Al-Quran 30 juz.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong itu ialah Pemangku Ketua Kampung Serusop, Pengiran Haji Roslan bin Pengiran Haji Tuah.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyyah serta Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh tetamu kehormat majlis dan diteruskan dengan bacaan Surah Ad-Dhuha hingga An-Nas oleh para peserta khatam.
Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan takhtim oleh murid Darjah 4 dan 5 serta diikuti dengan bacaan Doa Khatam.
Majlis turut dimeriahkan dengan laungan Dikir Marhaban dan diikuti dengan merenjis minyak wangi serta penyampaian sijil khatam Al-Quran oleh tetamu kehormat majlis.
Doa Selamat juga dibacakan diikuti dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis itu merupakan aktiviti tahunan sekolah bagi menepati hasrat kerajaan dalam melahirkan generasi celik Al-Quran.
Ia bertujuan untuk menggalakkan murid-murid sentiasa membaca Al-Quran dengan betul dan lancar, selain memastikan mereka dapat mengkhatamkan Al-Quran sebelum mereka menamatkan persekolahan agama.
Selain itu, ia dapat mengeratkan kerjasama dan perpaduan di antara ibu bapa dan penjaga, guru-guru serta murid-murid dalam sama-sama mengendalikan majlis-majlis keagamaan di sekolah.