Sunday, March 16, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    30 peserta tamat kursus EDP

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Program Perkembangan Eksekutif (EDP) memainkan peranan penting dalam menjadi satu landasan ke arah perkembangan pegawai-pegawai kanan dan sebagai mendukung usaha untuk memastikan kecemerlangan dalam kepimpinan dan perkembangan profesional.

    Perkara itu ditekankan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abd Kadir dalam ucapannya pada Majlis Penutup EDP untuk Dasar Awam dan Pengurusan bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan ke-17 yang berlangsung di Mes Pegawai, Bolkiah Garison, hari ini.

    Turut hadir ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, wakil dari Kedutaan Kesultanan Oman di Negara Brunei Darussalam, setiausaha-setiausaha tetap di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Pertahanan serta wakil-wakil daripada pihak berkepentingan yang berkaitan.

    Terdahulu dalam majlis berkenaan, Pemangku Pengarah Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah (IPPSSHHB), Haji Abdul Malik bin Haji Kamis dalam kata alu-aluannya memaklumkan mengenai usaha berterusan institut untuk terus meningkatkan kualiti program berkenaan dalam jangka masa yang panjang.

    Program EDP ke-17 telah menyaksikan seramai 30 peserta kurus berjaya menamatkan pengajian mereka dengan peserta program terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan dan ABDB, Pasukan Polis Diraja Brunei, JPM dan Kementerian Pendidikan. Kementerian Pertahanan turut menjemput serta membiayai tiga orang peserta dari luar negara iaitu Republik Indonesia, Kesultanan Oman dan Republik Singapura.

    Pada 2022, program EDP telah dikembalikan pengendaliannya secara fizikal yang mana pada 2021, ia diadakan secara dalam talian. Program selama tiga bulan yang disampaikan oleh Lee Kuan Yew School of Public Policy (LKYSPP) National University of Singapore itu dihasratkan untuk menyediakan pengetahuan dan latihan kepada pegawai-pegawai kanan mengenai perspektif dan rangka kerja konsep dalam bidang dasar awam dan pengurusan.

    Para peserta juga diberi peluang untuk membuat lawatan ke kementerian-kementerian kerajaan yang terpilih dan juga didedahkan dengan ceramah-ceramah khas oleh penceramah tempatan dengan harapan untuk mengukuhkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai persekitaran strategik Negara Brunei Darussalam melalui proses-proses pembentukan dasar sejajar dengan Wawasan Brunei 2035.

    Sejak dirasmikan pada 2004, seramai 417 orang pegawai kanan telah berjaya menamatkan program tersebut.

    Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak menyampaikan sijil kepada para peserta program berkenaan.
    Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bergambar ramai semasa majlis tersebut. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda