Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    30 uji kehebatan memasak dalam Festival Rendang

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 DIS – Buat julung kalinya, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Brunei Darussalam dengan kerjasama Persatuan Cef Indonesia di Brunei Darussalam menganjurkan Festival Rendang, hari ini.

    Festival berkenaan menampilkan seramai 30 orang tukang masak termasuk empat orang tukang masak tempatan yang menguji kehebatan masakan masing-masing dalam pertandingan masakan rendang.

    Diadakan di KBRI, festival tersebut antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan mempromosikan persahabatan melalui seni masakan rendang, yang merupakan kulinari Minang yang berharga di Indonesia.

    Menurut KBRI, pertandingan memasak rendang itu menyaksikan satu sesi dijalankan pada sebelah pagi dengan 15 orang cef mempersembahkan rendang versi masing-masing dan 15 orang cef lagi beraksi pada sesi sebelah petang sebelum disusuli dengan Talk show Teknik Memasak dan kepentingan budaya memasak rendang asli daripada kesemua juri pertandingan.

    Widia Harahap telah diumumkan sebagai juara manakala Yulistina Sari dan Haryanto masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dalam pertandingan tersebut.

    Salah seorang peserta yang menyertai Festival Rendang bertempat di KBRI mempamerkan hidangan bagi menguji kehebatan dan kebolehan memasak rendang. – Gambar oleh Muiz Matdani.
    Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko (tiga dari kiri) semasa hadir pada festival tersebut.
    Salah seorang peserta menyediakan hidangan rendang semasa Festival Rendang yang diadakan di KBRI, kelmarin.

    Salah seorang peserta dari Brunei, Awang Abdul Qawi bin Abdullah telah memperoleh penghargaan Special Mention kerana keberhasilannya memasak dan menyajikan rendang Minang dengan baik.

    Duta Besar Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko berkongsi bahawa rendang pasti akan menggoda walaupun kepada mereka yang mempunyai selera teruk dan untuk menghargai sepenuhnya kulinari hebat berkenaan.

    “Rendang bukanlah masakan yang asing di wilayah Asia, termasuk Brunei, namun aspek keasliannya perlu terus ditonjolkan dan dipromosikan. Kami gembira bahawa acara ini disambut dengan baik oleh para peminat rendang di Brunei,” jelas TYT Dr Sujatmiko.

    Tuan Yang Terutama juga melahirkan harapan agar kegiatan berkenaan akan mendorong para sahabat Indonesia di Brunei semakin mengenal salah satu masakan kebanggaan Indonesia.

    Idea utama penganjuran festival berkenaan adalah untuk mengeratkan lagi hubungan antara warga Brunei dan Indonesia melalui kulinari dan kali ini rendang dipilih kerana ia bukan sahaja popular di Indonesia malah di Brunei, Malaysia, Singapura dan seluruh dunia.

    Menurut kajian yang dijalankan oleh CNN tahun ini, antara 50 makanan terbaik, rendang telah dipilih sebagai makanan ke-11 terbaik di dunia.

    Melengkapi festival berkenaan, promosi destinasi temasya Indonesia melalui pertandingan foto pengalaman lawatan di Indonesia turut diadakan. Para peserta memuat naik foto-foto perjalanan mereka sebelum pandemik COVID-19 di media sosial masing-masing, sambil menceritakan pengalaman mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda