Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Sebanyak 34 pain darah berjaya diperoleh daripada penderma dalam kalangan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dan orang awam semasa kempen derma darah yang dianjurkan oleh JBP dengan kerjasama Pusat Penderma Darah, Perkhidmatan Makmal Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha yang diadakan selama dua hari di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat JBP, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, menyatakan bahawa dalam fasa endemik COVID-19, kempen derma darah itu masih dilaksanakan bagi menampung keperluan bekalan darah dan pada masa yang sama, prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan serta ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan terus dipatuhi.
Kenyataan menyatakan bahawa sebanyak 34 pain darah telah berjaya dikumpulkan dalam kempen berkenaan dan oleh itu, JBP tidak lupa mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan atas kerjasama yang diberikan oleh Pusat Penderma Darah serta kepada semua penderma darah atas kesudian mereka bagi sama-sama menjayakan kempen berkenaan.