Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Empat lelaki telah ditahan bagi siasatan lanjut kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah yang berjaya ditumpaskan oleh anggota Unit Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) dalam dua kejadian berasingan, baru-baru ini.
Dalam insiden pertama yang berlaku pada 31 Mac sekitar jam 5 petang, dua orang lelaki yang merupakan warga tempatan dan penduduk tetap telah ditahan oleh anggota Unit Operasi Khas, di Kampung Junjongan, Daerah Brunei dan Muara kerana disyaki cuba untuk menjalankan aktiviti jenayah.
Perkara ini terbongkar bila mana pihak polis telah menemukan kesan tapak kaki yang mencurigakan di kawasan berkenaan, lalu siasatan dijalankan dengan menjejak kesan tersebut sehingga berhasil menemukan kedua orang suspek di tempat persembunyian mereka.
Kedua-dua suspek Mohamad Rafaie bin Jusni berumur 27 tahun dan Jusni bin Haji Ahad berumur 56 tahun dibawa ke Balai Polis Limau Manis bagi siasatan lanjut.
Insiden kedua berlaku pada 31 Mac sekitar jam 6 petang, semasa anggota unit polis menjalankan rondaan dan telah berjaya menahan dua orang lelaki warga Bangladesh yang mencurigakan kerana dipercayai cuba untuk keluar dari Negara Brunei Darussalam melalui kawasan Pantai Sungai Tujoh, Kuala Belait.
Kedua-duanya suspek Mohd Shohid Khan berumur 32 tahun dan Juyel Vhuiyan berumur 29 tahun diserahkan ke Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) bagi siasatan dan tindakan lanjut.
PDB menyeru orang awam agar terus mengongsikan sebarang maklumat berkenaan apa jua kegiatan yang menyalahi undang-undang di persekitaran awda dengan menghubungi ke talian kecemasan 993 atau melalui e-mel ke laman sesawang PDB www.police.gov.bn, atau melaporkan terus ke balai-balai polis yang berdekatan.