Tuesday, September 10, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    405 pesara diraikan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Seramai 405 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan diraikan pada Majlis Penghargaan Pegawai-pegawai dan Kakitangan Kementerian Kesihatan yang Bersara pada tahun 2019 hingga 2021 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, yang seterusnya berkesudian menyampaikan sijil-sijil dan cenderahati kepada pesara-pesara yang diraikan.

    Majlis tersebut diadakan pada tahun ini setelah tiga tahun tidak dapat diadakan disebabkan oleh pandemik COVID.

    Pada majlis tersebut, seramai 137 orang pesara pada 2019, 142 orang pesara pada 2020 dan 126 orang pesara 2021 telah menerima sijil dan cenderahati.

    Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Haji Norasilin bin Haji Puting dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan selaku pengerusi majlis, Awang Kamarul Azam bin Haji Mohamad.

    Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif; ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai serta kakitangan Kementerian Kesihatan.

    Awang Kamarul Azam menjelaskan, Kementerian Kesihatan turut merasakan kehilangan pegawai dan kakitangan yang berpengalaman dan berdedikasi mencurahkan khidmat bakti untuk bangsa dan negara serta membantu mengharumkan nama kementerian sama ada di dalam ataupun di luar negara.

    Seterusnya dalam ucapannya, beliau mewakili Kementerian Kesihatan mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas khidmat bakti, dedikasi dan sumbangan yang diberikan oleh pesara-pesara kepada perkhidmatan awam, khususnya kepada Kementerian Kesihatan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahati kepada salah seorang kakitangan Kementerian Kesihatan yang sudah bersara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda