Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Sebanyak 67 pain darah telah berjaya dikumpulkan dalam kempen derma darah dua hari anjuran Kompleks Annajat dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang berlangsung di Tingkat 1, Kompleks Annajat, Beribi.
Kempen yang berlangsung pada 21 Mac lalu dan hari ini itu merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat yang bertujuan untuk menanam sifat keprihatinan terhadap individu yang memerlukan darah dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menderma darah.
Di samping itu, ia bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat bagi mereka yang menderma darah serta meningkatkan lagi bekalan tabung darah bagi kegunaan Hospital RIPAS sambil meramaikan lagi pengunjung ke pusat beli-belah berkenaan.
Penyelaras acara bagi kempen tersebut, Awangku Mohd Noralimin bin Pengiran Haji Rakit ketika ditemui memberitahu bahawa sambutan yang cukup menggalakkan telah
diterima sepanjang kempen dua hari itu.
Dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan bagi mengawal penularan wabak COVID-19, setiap penderma darah menjalani saringan ujan pantas antigen (ART) terlebih dahulu di tempat yang telah disediakan. Selain itu, para penderma darah turut diberikan cenderahati.
Kempen berkenaan adalah kali ketiga diadakan bagi tahun ini yang mana ia merupakan program berterusan yang dikendalikan di kompleks tersebut.