Saturday, September 14, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    76 pelajar pertandingan kokurikulum dirai

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Seramai 76 pelajar yang telah berjaya dalam pertandingan kokurikulum, hari ini diraikan dalam Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan-peraduan bagi Tahun 1445H/2023M.

    Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Islam (JPI) itu berlangsung di Dewan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Serusop.

    Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pelajar ialah Pengarah JPI, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Shamshol bin Haji Omar.

    Terdahulu, majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Haji Othman bin Haji Asat.

    Kemudian majlis diserikan dengan persembahan daripada johan qari Peraduan Membaca Al-Quran Secara Murattal 2023 (Sekolah Agama) iaitu Awang Muhammad Lutfi Al-Hakim bin Muhammad Nur Nizamuddin dari Sekolah Ugama Dato Mohd Yassin, Rancangan Perumahan Negara Kampung Mentiri.

    Majlis seterusnya diikuti dengan persembahan daripada johan Pertandingan Lagu Dakwah Dwi Bahasa (Sekolah Arab) dari Kumpulan Halawah Al-Jannah dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Haji Abdullah bin Haji Sahat.

    Antara peraduan yang telah dianjurkan oleh JPI ialah Pertandingan Pidato dalam Bahasa Arab kali ke-12, Pertandingan Lagu Dakwah Dwi Bahasa, Pertandingan Membaca Al-Quran Kategori Murattal, Peraduan Lakas Tah Mengeja Jawi, Peraduan Syarahan Tafsir Al-Quran dan Peraduan Tausyeh.

    Majlis seumpama itu merupakan acara tahunan Bahagian Kokurikulum, JPI, bagi menzahirkan penghargaan dan sebagai insentif kepada pelajar-pelajar untuk terus berusaha demi kejayaan dalam bidang pendidikan khususnya bidang kokurikulum.

    Haji Shamshol menyampaikan hadiah dan sijil kepada salah seorang peserta. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda