Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Acara larian angkat BSB jadi pusat sehenti pendidikan sejarah

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Kumpulan 031 yang dianggotai oleh Awang Mohd Najmuddin bin Mohamad, Awang Mohd Rusydi bin Haji Yusly dan Awang Mohd Nor Hafiz bin Haji Abdul Wahab muncul juara bagi Cabaran Larian Sejarah Brunei 2024 (CLSB2024) yang berlangsung di Pusat Sejarah Brunei (PSB), hari ini.

    CLSB2024 diadakan buat kali ketiga sejak ia pertama kali dianjurkan pada 2019 oleh PSB dengan kerjasama Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) serta disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Acara itu merupakan usaha untuk menjadikan Bandar Seri Begawan (BSB) sebagai pusat sehenti bagi pendidikan sejarah dan warisan serta menyahut usaha kementerian dalam mendukung kempen Kejohanan BN on The Move 2024 yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelepasan para peserta serta penyampaian hadiah bagi CLSB2024 ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Chong Chin Yee.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah dan Pemangku Pengetua PSB, Awang Mohammad Faisal bin Haji Mat Salleh.

    Tetamu kehormat semasa menyertai acara tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara peserta yang mengambil bahagian dalam acara yang berlangsung baru-baru ini. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Acara dimulakan dengan sesi senamrobik dan diikuti dengan lafaz perasmian larian disempurnakan oleh Yang Berhormat Chong Chin Yee yang menyaksikan sebanyak 42 buah kumpulan mengambil bahagian dalam program cabaran larian sejarah berkenaan.

    Kumpulan 031 yang menjadi juara telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah $900, pingat, sijil dan keahlian percuma selama sebulan di Fitness Zone. Tempat kedua, Kumpulan 035 yang dianggotai oleh Awang Mohd Danny bin Aussry, Awang Mastani bin Mohd Yussop dan Lau Soon Hau telah membawa pulang hadiah $600, pingat, sijil dan keahlian percuma selama sebuah di Fitness Zone.

    Sementara itu, di tempat ketiga, Kumpulan 002 yang dianggotai oleh Awang Mohd Izzat bin Haji Mohd Azmi, Awang Mohd Hanif bin Haji Awang Jaafar dan Abdul Qawi bin Haji Zulkipli membawa pulang hadiah $400, pingat, sijil dan keahlian percuma selama sebulan di Fitness Zone.

    Manakala itu, tempat keempat menerima hadiah $200 dan tempat kelima hingga ke-10 menerima $100. Bagi memeriahkan lagi program berkenaan, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan antaranya cabutan bertuah, sesi bersama Izz Ibrahim dan Shom’D, gerai makanan dan minuman, pertandingan e-sukan, pameran kereta oleh Kelab Sahabat Mercedes Benz Darussalam (SMBD), permainan go kart serta permainan bouncer.

    Program cabaran larian itu juga bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penghayatan rakyat khususnya gene-rasi belia mengenai kepentingan sejarah dan warisan budaya serta mempromosi kawasan BSB sebagai bandar yang mempunyai monumen bersejarah yang menarik untuk diperkenalkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda