Wednesday, February 26, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    AGO Indonesia namakan tujuh suspek terlibat dalam kes rasuah

    JAKARTA, 25 FEB – Pejabat Peguam Negara (AGO) Indonesia menamakan tujuh suspek dalam kes rasuah yang didakwa melibatkan tadbir urus minyak mentah dan produk penapisan di PT Pertamina Subholding serta Kontraktor Kontrak Kerjasama (KKKS) dari 2018 hingga 2023, lapor agensi berita ANTARA.

    “Berdasarkan kenyataan saksi, keterangan pakar serta bukti dokumentari yang disita secara sah, penyiasat secara rasmi mengenal pasti tujuh individu sebagai suspek malam ini,” kata Pengarah Siasatan, Timbalan Peguam Negara bagi Jenayah Khas (Jampidsus) di bangunan AGO di Jakarta, Abdul Qohar, kelmarin.

    Tujuh suspek yang dikenal pasti dengan inisial termasuk RS, Presiden Pengarah PT Pertamina Patra Niaga; SDS, Pengarah Pengoptimuman Sumber dan Produk di PT Kilang Pertamina Internasional; serta YF, wakil PT Pertamina International Shipping.

    Turut dinamakan ialah AP, Naib Presiden Pengurusan Sumber di PT Kilang Pertamina Internasional; MKAR, pemilik benefisial PT Navigator Khatulistiwa; DW, Pesuruhjaya PT Navigator Khatulistiwa dan PT Jenggala Maritim; serta GRJ, Pesuruhjaya PT Jenggala Maritim dan Pengarah PT Orbit Terminal Merak.

    Menurut Qohar, suspek akan ditahan selama 20 hari bagi memudahkan siasatan, bermula kelmarin.

    Sementara itu, Pertamina menyatakan pihaknya menghormati keputusan AGO dalam menamakan suspek.

    “Pertamina bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa dan berharap proses perundangan berjalan lancar sambil menegakkan anggapan tidak bersalah,” kata Naib Presiden Komunikasi Korporat Pertamina, Fadjar Djoko Santoso. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda