Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Mesyuarat Majlis Insurans ASEAN yang ke-50 (AIC), yang telah diadakan pada 26 hingga 28 November 2024 di The Empire Brunei, baru-baru ini, telah berjaya mengumpulkan pemimpin, pengawal selia dan pemegang amanah utama dari seluruh industri insurans dan takaful ASEAN.
Menurut kenyataan Persatuan Insurans dan Takaful Brunei (BITA), hari ini, acara bersejarah itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid yang juga merupakan Pengerusi Brunei Darussalam Central Bank (BDCB).
Acara kejayaan AIC itu adalah bagi meraikan 50 tahun kerjasama serantau dan kemajuan dalam mengukuhkan peranan sektor insurans dan takaful dalam pembangunan ekonomi ASEAN.
Dianjurkan BITA, majlis tahun ini memberi tumpuan kepada tema Menghubungkan Ketahanan dan Inovasi dalam Landskap Insurans ASEAN.
Antara perbincangan utama termasuk, prinsip alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) dalam amalan insurans dan takaful di mana persidangan menegaskan semula peranan sektor dalam menyumbang kepada matlamat kelestarian serantau dan global.
Selain itu, memperluas amalan insurans yang mampan untuk menangani risiko iklim dan keperluan masyarakat termasuk perkongsian inisiatif mampan semasa dan masa depan serta usaha yang bertujuan untuk meningkatkan kapasiti sektor insurans dan takaful dalam mengurangkan risiko dan menyokong pemulihan ekonomi di kalangan komuniti ASEAN.
Selama tiga hari, persidangan mengadakan siri pertemuan dan perbincangan yang produktif yang membahaskan aspek-aspek kritikal mengenai insurans serta kesan terhadap sosial dan ekonomi di rantau ASEAN.
Pada hari terakhir, majlis ditutup dengan pertemuan dua hala yang produktif antara pengawal selia dan persatuan industri di rantau tersebut, di samping menyediakan platform dialog dan membina kerjasama.
Pengerusi BITA, Haji Shahrildin bin Pehin Dato Haji Jaya, menyatakan, “Ia adalah satu penghormatan bagi BITA untuk menjadi tuan rumah acara AIC ke-50 bagi delegasi ASEAN, yang mana telah mengadakan perbincangan penting mengenai isu-isu insurans dan takaful di rantau ini dengan objektif untuk menyediakan lebih banyak peluang perlindungan kepada komuniti ASEAN.
“Kami berterima kasih dan menghargai semua pihak berkepentingan termasuk ahli insurans dan takaful BITA serta sokongan berharga daripada BDCB untuk menjadikan AIC ke-50 ini sangat bermakna,” ujarnya.
Ketika AIC memperingati acara penting ini, hasil daripada mesyuarat AIC ke-50 menandakan komitmen yang diperbaharui untuk memupuk landskap insurans yang mampan dan berorientasikan masa depan di seluruh rantau ASEAN.