Friday, September 20, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alam sekitar tanggungjawab bersama

    KUALA LUMPUR – Sehingga ke hari ini, Malaysia masih berdepan dengan polemik isu gangguan bekalan air bersih yang kerap berlaku akibat pencemaran sehingga menjejaskan rutin harian jutaan pengguna.

    Penduduk di Lembah Klang khususnya semakin letih, geram membawa kepada berang, setiap kali berlaku episod ini lebih-lebih lagi apabila bekalan air terawat terputus secara tiba-tiba sehingga memaksa mereka bergantung kepada bekalan daripada lori tangki air.

    Pada bulan Oktober tahun lalu misalnya, penduduk di sebahagian kawasan Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor sekali lagi menjadi mangsa gangguan bekalan air akibat insiden pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor.

    Sementara di Negeri Sembilan pada awal November tahun lalu, tindakan pihak tidak bertanggungjawab melepaskan sisa berjadual mengakibatkan sebahagian besar penduduk Port Dickson mengalami gangguan bekalan air kerana LRA Sungai Linggi terpaksa dihentikan disebabkan air yang diproses berbau diesel.

    Bagaikan tiada kesudahan isu pencemaran sungai, timbul persoalan adakah situasi yang berlaku ini berpunca daripada kelemahan undang-undang sedia ada dalam membanteras penjenayah alam sekitar yang semakin bermaharajalela sehingga sukar ditangani.

    Air sungai yang tercemar turut berpotensi menyebabkan penularan penyakit dalam kalangan spesies akuakultur serta membahayakan kesihatan manusia. – Bernama
    Penduduk mengisi air yang disediakan Syarikat Pengurusan Air Selangor berikutan gangguan bekalan air ekoran henti tugas LRA Sungai Semenyih kerana pencemaran bau. – Bernama

    Keadaan ini menyebabkan pakar berpandangan, langkah kerajaan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan 2023), pada sesi persidangan Dewan Rakyat suku pertama tahun 2024 untuk menambah baik akta sedia ada, dilihat sebagai bertepatan dan sudah tiba masanya.

    Namun, akta berkenaan yang akan memberi tumpuan khusus dalam penambahbaikan berkaitan hukuman yang membabitkan kes jenayah alam sekitar dilihat masih belum memadai untuk menoktahkan isu pencemaran di negara itu.

    RUU berkenaan melibatkan pindaan 28 Seksyen Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang antara lain, merangkumi pemantapan hukuman dengan julat kadar denda minimum tidak kurang daripada RM5,000, denda maksimum tidak melebihi RM10 juta dan penjara mandatori tidak melebihi tempoh lima tahun.

    Selain kadar kompaun juga ditingkatkan daripada tidak melebihi RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum kesalahan berkaitan.

    TIDAK MEMADAI

    Mengulas mengenai isu yang berbangkit, pakar kualiti air dan pemodelan kualiti air, Dr Zaki Zainudin berpandangan, peningkatan denda tidak mencukupi mengekang isu pencemaran secara menyeluruh sekiranya tidak disertai dengan pemantauan berkesan.

    Menurut beliau, ini kerana masalah pencemaran sungai boleh berpunca daripada premis industri kecil seperti bengkel, aktiviti pertanian dan perlombongan, malah pernah pencemaran sungai yang berlaku di Selangor berpunca daripada pelepasan efluen bengkel lori sehingga menyebabkan penutupan LRA.

    “Pencemaran juga turut berpunca daripada kolam ternakan ikan keli atau juga penternakan haiwan lain misalnya di Johor, terdapat premis baja daripada najis ayam yang melepaskan sisa ke Sungai Johor sehingga menyebabkan pencemaran dan penutupan LRA.

    “Selain itu, ada juga pengusaha tidak kira besar mahupun kecil, tidak menyedari operasi mereka terletak dalam lembangan sungai dan menyebabkan pencemaran apabila membuang sisa ke dalam parit yang akhirnya akan sampai ke sungai,” katanya kepada Bernama.

    Sehubungan dengan itu, beliau menekankan penting pengawalan pembangunan terutamanya yang berskala besar dan berisiko tinggi tidak dibenarkan di kawasan hulu sungai bagi memastikan kualiti air di muka sauk dapat dipelihara.

    Tahap penguatkuasaan dalam membanteras penjenayah alam sekitar turut sama dibangkitkan pensyarah kanan di Jabatan Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman.

    Beliau memberitahu Bernama, tindakan untuk meningkatkan kadar hukuman dalam RUU tersebut adalah bertepatan pada waktunya, namun tahap penguatkuasaan yang masih lemah sehingga penjenayah alam sekitar tidak takut mengulangi kesalahan sama, perlu juga diberi perhatian.

    Justeru, Haliza berpandangan, pemantauan agensi penguatkuasaan alam sekitar perlu diperkasa termasuklah integriti pegawai penguatkuasa dalam menangani penjenayah alam sekitar agar jenayah berkenaan dapat diperangi habis-habisan bagi memastikan ekosistem sungai kekal terpelihara. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda