Tuesday, January 7, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alya Iman buka tudung sebab tak nak hipokrit

    “Tak nak hipokrit dan mahu jadi diri sendiri,” begitulah penjelasan pelakon Alya Iman berhubung tindakannya memuat naik hantaran tidak lagi bertudung sejak 1 Syawal lalu.

    Alya atau nama sebenarnya, Nur Alya Iman Azmil, 22, memberitahu tindakannya membuka hijab bukanlah perkara baharu dan sudah diketahui lebih awal oleh mereka yang rapat dengannya.

    “Keluarga dan teman rapat memang tahu saya tidak lagi berhijab. Cuma, saya memilih untuk tidak berkongsi mengenainya dalam media sosial.

    “Sebelum ini, saya memang berperang dengan diri sendiri adakah saya sudah bersedia dengan kecaman warganet jika kongsi penampilan baharu dalam media sosial.

    “Selepas mendapat persetujuan keluarga dan teman rapat, saya nekad untuk berkongsi perubahan imej dengan khalayak.

    Selepas mendapat persetujuan keluarga dan teman rapat, Alya nekad berkongsi perubahan imej dengan khalayak. – Agensi

    “Tak dinafikan ada juga rasa sedih bila warganet memberi komen negatif dan mendoakan yang buruk-buruk kepada saya.

    “Namun, saya terima sahaja apa komen diberikan dengan hati terbuka. Sekurang-kurangnya saya lega kerana tak perlu sorok-sorok lagi,” katanya kepada BH Online.

    Ditanya adakah keputusan membuka tudung dibuat kerana terpaksa, Alya menafikannya.

    “Keputusan tidak lagi bertudung dibuat atas kerelaan sendiri dan bukan kerana nak kahwin ataupun tuntutan kerja.

    “Nak kahwin macam mana, teman lelaki pun belum ada lagi,” ungkap anak kepada pelakon popular era 1980an, Allahyarham Azmil Mustapha ini.

    Terdahulu, menerusi hantaran dimuat naik, pelakon drama rantaian Bukan Kahwin Paksa dan Ku Punya Hati itu kelihatan anggun dengan gaya rambut berombak dengan mengenakan busana raya.

    Dalam satu video lain, Alya kelihatan gembira dan bahagia saat didandan oleh penata rias.

    Sementara itu, berkongsi sambutan Aidilfitri tahun ini, Alya berkata, dia menyambut Syawal di kampung ibunya di Ijok, Selangor.

    “Saya beraya di kampung sebelah mama, namun sehari sahaja. Selepas itu, saya pulang semula ke Kuala Lumpur kerana ada urusan kerja yang perlu diselesaikan,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda