Friday, October 4, 2024
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    APM tangkap ular sawa batik

    JERTIH, 3 OKT – Seekor ular sawa batik sepanjang lapan meter dengan berat kira-kira 100 kilogram yang berada di dalam sebuah reban ayam kampung organik di Kampung Pasir Kanan dekat Kampung Padang Bual, Hulu Besut berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), semalam.

    Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut Kapten (PA) Mohd Fazlien Ja’far berkata pihaknya menerima panggilan daripada pemilik reban berkenaan yang juga seorang pesara guru pada 8:48 pagi kelmarin.

    Mohd Fazlien berkata pengadu mendakwa reptilia itu telah memakan sejumlah besar ayam miliknya.

    “Empat anggota bergegas ke lokasi untuk menangkap ular itu dan setibanya di lokasi mereka mendapati ular berkenaan yang dianggarkan bersaiz paha individu dewasa sedang tidur di dalam reban.

    “Ular itu kemungkinan tertidur kerana keletihan dan kekenyangan selepas menelan sebelum memuntahkan kembali lebih daripada 10 ekor ayam. Di sampingnya ditemukan banyak bangkai ayam,” katanya kepada Bernama di Pejabat APM Besut hari ini.

    Beliau berkata pihaknya hanya mengambil kira-kira lima minit untuk menangkap reptilia berkenaan sebelum dibawa pulang ke pejabat APM Besut.

    “Ular itu antara yang terbesar ditangkap oleh kami setakat ini akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam masa terdekat bersama puluhan ular lain,” katanya. – Bernama

    Pegawai APM Daerah Besut, Kapten (PA) Mohd Fazlien Ja’far (dua kanan) menunjukkan ular sawa batik sepanjang lapan meter dengan berat kira-kira 100 kilogram di pekarangan Pejabat APM Besut pada 3 Oktober. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda