LISBON, 27 NOV – Mikel Arteta berkata Arsenal menunjukkan kesungguhan mencabar trofi Liga Juara-Juara selepas membenam Sporting Lisbon 5-1, kelmarin.
Arteta telah menuntut persembahan dinamik daripada pasukannya menjelang kunjungan mereka ke Stadium Jose Alvalade dan mereka memberikan respons dengan bergaya.
Gol daripada Gabriel Martinelli, Kai Havertz, Gabriel Magalhaes, Bukayo Saka dan Leandro Trossard melonjakkan The Gunners ke tempat ketujuh dalam Liga Juara-Juara untuk memburu tempat ke pusingan 16 terakhir.
Ia adalah kemenangan terbesar Arsenal di tempat lawan dalam liga tersebut sejak anak buah Arsene Wenger membelasah Inter Milan dengan jaringan yang sama pada 2003.
“Saya sangat gembira. Ia keputusan yang baik dalam menentang lawan yang besar. Kami mahu membuat kenyataan itu,” kata Arteta.
“Saya merasakan tenaga dan kepercayaan yang sangat baik sebelum perlawanan. Separuh masa pertama adalah luar biasa, di mana kami perlu mempraktikkannya. Kami sangat bijak, pintar dan cekap.
“Selepas dibolosi, kami menunjukkan banyak personaliti untuk mengawal permainan.
“Kemudian kami menjaringkan gol keempat dan ketika itulah permainan kembali berubah,” tambahnya. – AFP