Tuesday, September 24, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arteta bangga prestasi pemain Arsenal

    MANCHESTER, 23 SEPT – Mikel Arteta berkata Arsenal yang beraksi dengan 10 pemain berada dalam kedudukan hampir mustahil akibat kad merah Leandro Trossard pada babak pertama sebelum mereka dibolosi lewat permainan sekali gus terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 di Manchester City kelmarin. 
     
    Arsenal yang menamatkan saingan sebagai naib juara di belakang City sejak dua musim lalu, hanya beberapa saat untuk meraih kemenangan  sekali gus memberikan tekanan awal dalam perebutan kejuaraan sebelum John Stones menyamakan kedudukan pada minit ke-98.
     
    Erling Haaland menjaringkan gol ke-100 untuk City, memberikan pasukan Pep Guardiola kelebihan awal. Namun, Arsenal bangkit dengan jaringan daripada pemain pertahanan, Riccardo Calafiori dan Gabriel Magalhaes.
     
    Trossard kemudian dilayang kad kuning kedua sejurus sebelum tamat separuh masa pertama kerana menendang bola jauh selepas melakukan kekasaran. Arteta berang kerana kejadian serupa berlaku kepada Declan Rice dalam keputusan seri 1-1 menentang Brighton bulan lalu.
     
    “Kami berada dalam konteks perlawanan yang menjadikannya hampir mustahil bagi 56 minit,” kata Arteta.
     
    “Saya amat bangga dengan mereka. Awda tidak boleh berada dalam situasi yang lebih sukar dan cara kami menangani situasi itu amat luar biasa”.
     
    Arteta bertindak dengan mengorbankan Bukayo Saka bagi memasukkan seorang lagi pemain pertahanan Ben White ketika rehat apabila pelawat memenuhi kotak penalti mereka untuk menafikan City sebarang ruang.
     
    Anak buah Guardiola hampir-hampir mengalami kekalahan pertama di laman sendiri dalam semua pertandingan sejak November 2022 hinggalah Stones menjaringkan gol dari sepakan sudut pada saat akhir.
     
    Arteta menambah, “99 daripada 100 kali jika awda bermain selama 56 minit di stadium ini dengan 10 menentang 11 pemain, awda akan tewas dengan jumlah gol banyak. Ia luar biasa bagaimana mereka bertindak balas tetapi saya tidak boleh bergembira kerana saya mahu berada dalam situasi yang mana kami boleh menikmati perlawanan.” – AFP
     
    Reaksi pemain pertahanan Arsenal, Riccardo Calafiori meraikan gol pertama pasukan antara City dan Arsenal di Stadium Etihad pada 22 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda