Thursday, May 2, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    AS kunci perbincangan kawalan senjata

    WASHINGTON, 2 JUN – Seorang pegawai tertinggi Rumah Putih hari ini akan membincangkan usaha menempatkan China, kuasa nuklear yang semakin meningkat, sebagai tumpuan usaha kawalan senjata masa depan dengan Rusia.

    Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan akan menyampaikan ucapan pada mesyuarat tahunan Persatuan Kawalan Senjata Kebangsaan di Washington yang menggariskan percubaan pentadbiran Biden untuk mengemudi landskap nuklear strategik yang berubah dengan pantas, kata pegawai kanan.

    Pada asasnya, perbincangan dengan China tentang persenjataan yang berkembang pesat dan pengaruh global mereka akan menjadi tumpuan utama, berbeza dengan zaman Perang Dingin di mana fokus utama adalah Moscow.

    Dengan perjanjian kawalan senjata AS-Rusia yang terakhir yang sudah tidak aktif dan akan tamat pada 2026, Sullivan mengatakan bahawa AS berminat untuk menjalin perjanjian baharu tetapi rundingan itu tidak akan dapat dilakukan tanpa mengambil kira China.

    “Kami akan bersedia untuk terikat oleh sekatan dan terlibat dalam kawalan senjata selepas 2026, tetapi pemboleh ubah utama dalam hal ini adalah bagaimana… hubungan kami akan berterusan dengan China nanti,” kata seorang pegawai kanan yang enggan dikenali kepada wartawan.

    Pentadbiran Biden perlu memahami “kesediaan China untuk terlibat dalam dialog yang lebih substantif dengan kami kerana saiz senjata, bentuk pasukan, sebarang perubahan dalam dasar mereka akan memberi kesan kepada postur pasukan kami pada masa hadapan,” kata pegawai itu.

    Hal itu ‘sudah tentu akan menjejaskan keupayaan kita untuk mencapai beberapa jenis persetujuan dengan Rusia,’ satu realiti yang akan mempunyai kesan meluas kepada kuasa nuklear lain yang diakui, seperti Britain dan Perancis.

    Dengan hubungan yang hampir putus dengan Rusia, Presiden Vladimir Putin dan kini hampir terhenti dengan Beijing, terdapat banyak lagi liku-liku sukar menanti di hadapan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    24 maut lebuh raya runtuh di selatan China

    BEIJING, 1 MEI - Sekurang-kurangnya 24 orang maut selepas sebahagian lebuh raya runtuh akibat hujan lebat di wilayah Guangdong, selatan China hari ini, kata...