Wednesday, October 9, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN perlu berkecuali untuk rangsang pelaburan asing

    VIENTIANE, 8 OKT – ASEAN perlu kekal sebagai sebuah blok berkecuali bagi menghadapi impak ketegangan geopolitik global dalam usaha merangsang pelaburan asing di rantau ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

    Ketika menegaskan pendirian itu, beliau berkata blok serantau berkenaan juga perlu memastikan aspek keterangkuman dan keterbukaannya menjadi faktor penarik bagi meningkatkan pelaburan, di samping memberi penekanan terhadap aspek kelestarian.

    “Kita berdagang dan berkawan dengan semua negara Eropah, negara barat dan juga negara BRICS seperti China, Rusia dan sebagainya.

    “Pada masa sama (kita juga berdepan) isu ekonomi dunia dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia yang nampaknya lebih perlahan daripada dijangkakan,” katanya pada sesi bersama media Malaysia, di Vientiane semalam.

    Tengku Zafrul dan delegasi kementeriannya tiba di Laos pada 6 Oktober lepas bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula hari ini sehingga 11 Oktober.

    Beliau turut menyertai Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-24 semalam.

    Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata di sebalik ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global, ASEAN masih menerima pelaburan yang tinggi walaupun pelaburan langsung asing (FDI) global menurun.

    “Kita (mencatat perkembangan) bertentangan dengan trend, jadi ini adalah sesuatu yang positif. Isu lain adalah tarif yang mungkin digunakan untuk melindungi sesetengah pasaran dan pentingnya bagi ASEAN untuk terus berbincang dengan blok lain, terutama platform pelbagai hala seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),” katanya. – Bernama

    Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (kiri) bertemu Setiausaha Eksekutif UNESCAP, Armida Alisjahbana (kanan) bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda