Tuesday, November 5, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir Valencia: 217 maut, penduduk luah kemarahan

    VALENCIA, 4 NOV – Pasukan penyelamat Sepanyol hari ini meneruskan lagi usaha pencarian mayat di garaj yang ditenggelami air, sehari selepas penduduk tempatan marah dengan mengejek dan melempar lumpur kepada raja dan perdana menteri susulan banjir dahsyat yang melanda di negara tersebut.

    Jumlah korban kini mencecah 217 orang hampir kesemuanya di wilayah timur Valencia  dan Sepanyol bimbang akan penemuan lebih banyak mayat dalam bencana terburuk seumpamanya dalam beberapa dekad.

    Perkhidmatan cuaca kebangsaan AEMET mengumumkan keadaan darurat untuk Valencia telah berakhir, namun meletakkan sebahagian wilayah timur laut Catalonia dalam amaran merah tertinggi untuk hujan lebat hari ini.

    Perkhidmatan kereta api di Catalonia turut dihentikan sementara sehingga diberitahu kelak, menurut Menteri Pengangkutan, Oscar Puente melalui platform X, manakala penerbangan di Lapangan Terbang El Prat Barcelona turut mengalami kelewatan dan pemindahan.

    Sepanyol kini berdepan dengan kemarahan luar biasa orang ramai terhadap Raja Sepanyol, Felipe VI, Permaisuri Letizia, dan Perdana Menteri Pedro Sanchez.

    Pengawal Awam Sepanyol telah membuka siasatan terhadap kekacauan di bandar Paiporta, pusat bencana, yang menyebabkan lawatan mereka terganggu pada Ahad lalu, kata Menteri Dalam Negeri Sepnayol, Fernando Grande-Marlaska kepada penyiar awam, TVE.

    Beliau menyalahkan ‘kumpulan terpinggir’ yang mencetuskan kekacauan sehingga menyebabkan balingan lumpur dilihat mengenai muka serta pakaian Raja dan memecahkan tingkap kereta Sanchez.

    Pengaturan lawatan itu disifatkan sebagai ‘kesilapan kolektif’ kerana kumpulan kecil tersebut telah mengambil kesempatan ke atas emosi rakyat untuk membahayakan kerabat diraja, Sanchez, dan pemimpin wilayah Valencia, Carlos Mazon, kata Puente kepada saluran La Sexta pada Ahad lalu. – AFP

    Seorang anggota pengawal awam menunggang kuda ketika penduduk Paiporta mengadakan protes dengan melemparkan lumpur semasa lawatan Raja Felipe VI ke bandar tersebut, baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda