Sunday, September 15, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank Baiduri anjur Hari Terbuka

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Sempena meraikan ulang tahun pertama Hab Perusahaan Baiduri pada awal minggu ini, Bank Baiduri telah mengadakan Hari Terbuka dengan dihadiri oleh ahli-ahli kumpulan yang mewakili perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan daripada pelbagai sektor, termasuk seni kreatif, makanan dan minuman, perkhidmatan profesional, teknologi dan industri runcit.
     
    Hab Perusahaan Baiduri merupakan ruang kerja bersama dan pusat sehenti khusus untuk menyokong PMKS di Brunei di mana ia menawarkan pelbagai kemudahan termasuk private pods, bilik mesyuarat, ruang acara dan kawasan terbuka yang dipanggil horizon untuk menjalin rangkaian dan kerjasama. 
     
    Hab tersebut juga menyediakan WiFi percuma, peralatan audio dan visual, private pods dan pilihan hot-desking untuk memenuhi keperluan usahawan baharu dan perniagaan mapan yang ingin berkembang.
     
    Sejak dilancarkan pada Ogos 2023 lalu, hab itu telah menjadi tempat yang sesuai untuk usahawan meningkatkan kemahiran, bekerjasama dan memacu pertumbuhan dalam komuniti PMKS Brunei.
     
    Semasa acara hari terbuka berkenaan, rakan-rakan kongsi ekosistem hab tersebut iaitu Darussalam Enterprise (DARe), Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Shell LiveWIRE, dan Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) turut hadir untuk perkongsian pengetahuan dan tunjuk ajar. 
     
    Awang Mohammad Isa Liew bergambar ramai bersama rakan-rakan kongsi ekosistem hab. – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI
    GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI
    GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI
    GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI
    Sebagai rakan-rakan kongsi ekosistem hab, mereka telah menyediakan sokongan holistik untuk PMKS melalui klinik perniagaan khusus, bengkel pembinaan kemahiran dan acara rangkaian seperti siri-siri Baiduri-DARe MSME Empowerment atau Baiduri-YEAB Power Coffee
     
    Semasa acara hari terbuka itu turut mempamerkan beberapa perniagaan yang menjadi ahlli-ahli aktif hab berkenaan antaranya Si Manja Pet Grooming Spa. 
     
    Menurut pengarah urusannya, Billy Lim berkata Hab Perusahaan Baiduri telah memainkan peranan penting dalam pembangunan mereka sepanjang tahun lalu dan memberikan mereka sumber yang tidak ternilai dan peluang rangkaian.
     
    Satu lagi perusahaan yang dipamerkan ialah The Harry Knit dimiliki oleh Bash Harry, antaranya berkata, dengan menjadi sebahagian daripada Hab Perusahaan Baiduri telah memberikan perubahan dan kesan dalam memupuk ekosistem dan penyelesaian kewangan sekali gus memperkasakan mereka untuk mengubah minat terhadap seni sehingga menjadi sebuah perniagaan yang berkembang maju.
     
    Dalam pada itu, Ketua Perbankan Perniagaan di Bank Baiduri, Awang Mohammad Isa Liew bin Mohd Amin Liew, berkata mereka amat berbangga dengan menyaksikan apa yang telah dicapai oleh Hab Perusahaan Baiduri dalam masa satu tahun. 
     
      “Apabila kami membuka perusahaan, kami bermula dengan hanya beberapa ahli. Hari ini, kami telah berkembang memiliki lebih 100 PMKS, masing-masing menyumbang kepada sokongan ekosistem yang dinamik. Pertumbuhan ini bukan sahaja bukti kepada daya tahan dan inovasi ahli kami tetapi juga mencerminkan komitmen kami untuk memperkasakan perniagaan tempatan.
     
    “Ulang tahun ini bukan sekadar sambutan kejayaan ini, tetapi bukti ketabahan dan inovasi ahli PMKS kami. Kejayaan mereka adalah kejayaan kami, dan kami komited untuk meneruskan sokongan kami untuk perjalanan keusahawanan mereka,” ujarnya lagi. 
     
    Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Pengguna Bank Baiduri, Manuel Bulens, menekankan potensi ketara dalam sektor PMKS Brunei, dengan menyatakan, Bank Baiduri komited untuk memainkan peranan penting dalam membuka potensi ini. 
     
    “Hab Perusahaan Baiduri akan terus menyesuaikan diri dengan keperluan yang berubah-ubah dalam komuniti perniagaan kami, memacu pertumbuhan dan inovasi untuk tahun-tahun akan datang,” tambahnya. 
     
    Sehubungan itu, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kepada sektor PMKS dan pendekatan komprehensif untuk menyokong PMKS pada setiap peringkat pembangunan mereka, dari permulaan hingga pengembangan, Bank Baiduri menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan melalui Unit Perbankan Perniagaannya, termasuk Akaun PMKS iaitu akaun khusus dengan deposit permulaan yang rendah dan baki minimum, direka bentuk untuk menyokong operasi harian perniagaan kecil. 
     
    Selain itu, bank tersebut juga menawarkan Pembiayaan Penghutang Akaun PMKS Baiduri dengan penyelesaian yang membantu perniagaan meningkatkan aliran tunai dengan memajukan pembayaran ke atas invois tertunggak; dan Khidmat Nasihat Perniagaan iaitu berupa panduan pakar tentang pengurusan kewangan, perancangan perniagaan dan strategi pertumbuhan.
     
    Memandang ke hadapan, Bank Baiduri mengesahkan komitmennya terhadap pertumbuhan dan kejayaan sektor PMKS di Brunei dengan terus mengembangkan sokongan melalui perkhidmatan yang dipertingkatkan, perkongsian strategik dan pelaburan berterusan dalam hab berkenaan.
     
    Antara ahli hab yang hadir sekali gus menyediakan makanan dan minuman pada acara hari terbuka itu ialah Pelita Coffee, The Mock Drink Bar dan The Fork Burgers.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda