Monday, December 23, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bayang hitam dalam kenangan

    Oleh Rady HF –

    “Kau sudah baca akhbar Media Permata tadi?” Nada suara Sofiah bergetar, mencerminkan keresahan yang terpancar jelas di wajahnya. Tangan kecilnya menggenggam erat cawan kopi yang kini dingin, hampir retak akibat tekanan emosinya.

    Faridah, kakaknya yang sedang sibuk melipat kain di sudut ruang tamu, mengangkat kepala. Matanya bertaut dengan mata adiknya. Sofiah menyambung, “Kes ayah rogol anak kandungnya lagi. Kau rasa…kenapa benda ani masih berlaku, ka? Kenapa lelaki macam atu masih wujud?”

    Faridah meletakkan kain yang dilipatnya ke tepi dan bangkit menghampiri Sofiah. “Dari dulu, aku inda pernah faham. Inda pernah dapat jawapan. Tapi aku tahu satu benda, lelaki macam atu inda layak dipanggil manusia.”

    Sofiah menggelengkan kepala perlahan. “Tiap kali aku baca berita macam ani, aku rasa balik macam dulu…” suaranya tersekat. Mata Sofiah mula berkaca dan air mata yang cuba ditahan akhirnya menitis perlahan.

    “Sofiah,” panggil Faridah lembut sambil menggenggam tangan adiknya. “Aku pun rasa benda yang sama.”

    Gambar Freepik

    KENANGAN YANG TAK PERNAH LUPUS

    Kedua-duanya diam seketika, tenggelam dalam ingatan kelam yang inda pernah hilang.

    Masa itu, Sofiah baru berumur sembilan tahun dan Faridah pula empat belas. Mereka membesar dalam keluarga yang tampak bahagia dari luar, tetapi di sebalik dinding rumah kayu itu, ada rahsia hitam yang tak terungkap.

    Ayah mereka, seorang lelaki yang dihormati masyarakat kampung, sebenarnya syaitan bertopeng manusia.

    Malam-malam menjadi saat yang paling ditakuti oleh dua beradik itu. Bila semua lampu dipadamkan, itulah masa ayah mereka menunjukkan sifat sebenar. Sofiah, si bongsu, sering menjadi mangsa pertama.

    “Sofiah… kau ingat malam atu?” soal Faridah dengan suara bergetar.

    “Malam yang dia tarik aku keluar dari bilik?” Sofiah menjawab perlahan, suaranya hampir menjadi bisikan. Air matanya semakin deras mengalir. “Aku ingat, ka. Aku inda pernah lupa.”

    Faridah menggenggam tangan adiknya lebih erat, seolah-olah cuba melindunginya walaupun semua itu sudah lama berlalu. “Malam tu, aku dengar kau menangis. Aku takut… takut kan keluar dari bilik. Tapi bila aku inda dengar apa-apa, aku nekad.”

    “Ka… kau selamatkan aku malam tu. Kalau kau inda datang, aku inda tahu apa akan jadi arah aku.”

    Faridah memejamkan mata, cuba menahan diri dari teresak-esak. Dia teringat bagaimana dia mengintai dari celahan pintu bilik mereka dan melihat ayah mereka menghampiri Sofiah yang tidur di ruang tamu. Tanpa memikirkan apa-apa, dia meluru keluar dan menjerit.

    “Aku cuma budak masa tu, Fiah. Aku sendiri inda tahu apa yang ku buat. Tapi aku tahu aku inda boleh biarkan kau kena lebih teruk lagi.”

    Namun, malam itu bukanlah satu-satunya malam yang mengerikan. Ayah mereka tidak pernah berhenti. Setelah kejadian itu, dia mengancam dua beradik itu untuk berdiam diri.

    Kata-katanya penuh racun, “Kalau kamu beritahu sesiapa, aku akan pastikan kamu berdua mati.”

    PENYELAMAT YANG TAK DIDUGA

    Keadaan berubah setahun kemudian apabila ibu mereka akhirnya menyedari perubahan pada kedua-dua anak perempuannya. Faridah, yang dahulunya ceria, berubah menjadi pendiam dan pemarah. Sofiah pula kerap menangis sendirian.

    Suatu malam, ketika ayah mereka pulang dalam keadaan mabuk, dia cuba mengulangi perbuatannya. Tetapi kali ini, ibu mereka mendengar jeritan Sofiah. Tanpa ragu, dia mencapai parang di dapur dan menghala ke arah suaminya.

    “Aku sudah lama curiga! Aku sudah lama tahu kau ada buat benda inda senonoh!” jerit ibu mereka, tangannya menggigil memegang parang. Ayah mereka cuba mempertahankan diri, tetapi ibu mereka tidak memberi peluang. Malam itu, rahsia hitam keluarga itu terbongkar.

    Laporan dibuat ke balai polis dan ayah mereka akhirnya ditangkap. Namun, selepas itu, ibu mereka mula kerap mengadu sakit kepala. Beban emosi dan tekanan perasaan yang dialaminya akhirnya membawa kesan buruk. Beberapa bulan kemudian, ibu mereka disahkan terkena strok.

    “Aku ingat lagi malam ibu rebah,” Faridah berkata perlahan. “Masa tu aku rasa macam dunia kitani sudah habis, Fiah.”

    Sofiah mengangguk perlahan, matanya berkaca. “Ibu sudah banyak menanggung untuk kitani. Tapi akhirnya… ia pun inda dapat bertahan.”

    Ibu mereka meninggal dunia tidak lama selepas itu. Pemergiannya meninggalkan luka yang lebih dalam kepada Faridah dan Sofiah. Namun, mereka tahu ibu mereka telah berjuang demi mereka sehingga akhir hayatnya.

    Mereka berdua menjadi saksi dalam perbicaraan ayah mereka. Kata-kata dan soalan peguam serta hakim seolah-olah mengorek kembali luka lama.

    “Kau rasa,” suara Sofiah memecah lamunan Faridah, “apa yang buat kitani kuat dulu, ka? Kenapa kitani inda menyerah?”

    Faridah menghela nafas panjang. “Sebab kita ada satu sama lain, Fiah. Kalau kau inda ada, aku inda tahu apa akan jadi arah ku.”

    Sofiah mengangguk. “Ka, aku mau kau tahu… aku bangga jadi adik mu.”

    BAHAGIA YANG LUKA

    Walaupun bertahun-tahun telah berlalu, parut emosi itu tetap ada. Kini, Faridah dan Sofiah masing-masing sudah berkeluarga. Faridah mempunyai dua anak perempuan yang aktif dan bijak. Sofiah pula bahagia dengan suami yang memahami serta seorang anak lelaki.

    Namun, detik-detik hitam itu sesekali menghantui mereka. Setiap kali anak-anak mereka menangis ketakutan, Faridah dan Sofiah akan saling berpandangan, ingatan masa lalu mengimbau kembali. Tetapi mereka tekad untuk tidak membiarkan masa silam menghancurkan masa depan mereka.

    “Aku berdoa semoga kitani terus kuat. Bukan untuk kitani saja, tapi untuk anak-anak kitani jua. Kitani mesti pastikan mereka inda akan merasa apa yang kitani rasa dulu,” ujar Faridah sambil memeluk Sofiah erat.

    Sofiah tersenyum dalam tangisan. “Aku pun doa benda yang sama. Dan aku bersyukur, ka. Walaupun kitani ada sejarah hitam, kitani masih ada kebahagiaan hari ini.”

    Faridah mengangguk. “Au, Sofiah. Kitani hidup bukan untuk masa lalu. Kitani hidup untuk mereka yang kitani sayang.”

    Dalam pelukan itu, mereka menemukan kekuatan. Masa lalu mungkin tidak pernah benar-benar hilang, tetapi mereka belajar bahawa kebahagiaan masih boleh dikecapi walaupun parut luka tetap ada.

    Parut itu menjadi bukti kekuatan mereka, bukti mereka mangsa yang bertukar menjadi pejuang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda