Wednesday, September 25, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas isteri, adik tiri mengaku tidak bersalah bunuh pemandu e-hailing

    TAWAU, 24 SEPT – Bekas isteri pemandu e-hailing yang ditemukan maut di sebuah ladang kelapa sawit di sini tahun lepas, Nurima Juli, 34, dan adik tirinya Sadam Kiram, 30 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan membunuh. 

    Mereka yang didakwa mencapai niat bersama untuk membunuh Nurman Bakaratu, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

    Berdasarkan pertuduhan, Nurima serta Sadam didakwa membunuh mangsa di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Batu 5 Jalan Apas, di sini, antara 7:30 malam hingga 11:30 malam, pada 13 Jan 2023.

    Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau dipenjara sehingga 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 kali, jika tidak dikenakan hukuman mati.

    Sementara itu, Duncan menetapkan 18 Oktober ini bagi semakan kes serta status permohonan kebenaran pengecualian untuk mendengar kes tersebut daripada Hakim Besar Sabah Sarawak. 

    Ketika prosiding, Duncan memaklumkan tidak dapat mendengar kes itu bagi mengelak ketidakadilan dan penghakiman berat sebelah memandangkan sebelum ini beliau pernah menjadi hakim bagi kes bunuh berkenaan ketika Nurima tampil sebagai saksi utama pihak
    pendakwaan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif yang mewakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fakhrurazi Ahmad Salim manakala Nurima diwakili peguam Mark Rosaidey Mohd Amin dan Sadam diwakili peguam Jhassary P Kang. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda