Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan ke Majlis Santap Petang

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah telah berkenan berangkat ke Majlis Santap Petang sempena Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia ke-49 Tahun anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

    Berangkat sama pada majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah serta Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Komandan Polis Wanita dan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

    Keberangkatan tiba DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berserta kerabat diraja dijunjung oleh Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali serta Pengiran Datin dan Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin serta  Datin.

    Pada majlis itu, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan untuk menandatangani lembaran kenangan keberangkatan dan disusuli dengan sesi bergambar ramai.

    Sambutan puja usia Duli Yang Teramat Mulia turut dimeriahkan dengan upacara memotong kek yang diiringi dengan nyanyian puja usia daripada pasukan koir terdiri daripada para pegawai PPDB.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota seterusnya berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Pesuruhjaya Polis.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berserta kerabat diraja kemudiannya dijunjung ke pentas bankuet bagi majlis santap.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, berkenan menerima pesambah pada Majlis Santap Petang sempena Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia ke-49 Tahun anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei.- Gambar oleh Infofoto
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung memotong kek puja usia.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz berkenan dijunjung bergambar ramai.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz berkenan dijunjung santap petang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda