Saturday, March 15, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bermuhasabah dalam menunaikan kewajipan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Sebagai orang beriman, kita dituntut untuk sentiasa bersangka baik bahawa segala yang berlaku itu adalah ketetapan dan ketentuan Allah SWT dan kita perlu bermuhasabah agar kita dapat merancang sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang.

    Khatib menjelaskan perkara ini dalam Khutbah Jumaat terakhir tahun 2021 yang bertajuk ‘Sentiasa bermuhasabah diri’ hari ini, yang mana khatib turut menekankan bahawa penularan wabak COVID-19 adalah merupakan ujian besar yang menjejaskan pelbagai kegiatan harian kita malah turut memberi kesan kepada kegiatan ekonomi, kesihatan, pendidikan dan seumpamanya.

    Khatib menjelaskan selaku hamba Allah, kita dituntut untuk bermuhasabah dalam menyempurnakan dan menunaikan segala kewajipan yang diperintahkan Allah SWT ke atas kita.

    “Ini termasuk menilai kesungguhan dalam mentaati segala perintah dan larangan Allah seperti mendirikan sembahyang lima waktu, menunaikan zakat, berpuasa, menjauhi perbuatan mungkar seperti curi, riba, rasuah dan seumpamanya,” jelasnya.

    Di samping itu, jelas khatib, kita perlu muhasabah dengan bertanya kepada diri adakah kita telah menanai dan melaksanakan tugas, tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan dengan sempurna sebagai ibu bapa, tanggungjawab sebagai seorang anak, tugas seorang pelajar, tanggungjawab sebagai seorang pekerja, tugas sebagai ketua dan sebagainya.

    Katanya lagi, “Sekiranya telah bermuhasabah, tugas dan tanggungjawab pada tahap yang baik, berusahalah menuju ke tahap yang lebih baik. Manakala jika sebaliknya, apa yang telah kita dapat daripada hasil bermuhasabah itu, kita merasakan masih terdapat kekurangan, kelemahan dan keburukan, kita wajar melakukan perubahan dengan mempertingkatkan daya upaya serta usaha dan berpindah kepada kebaikan atau yang lebih baik lagi.”

    Beliau seterusnya menyeru untuk sentiasa muhasabah diri, kerana sifat manusia itu mempunyai banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu kepada peringatan.

    Ini kerana sekiranya kelemahan dan kekurangan dibiarkan secara berterusan dalam hidup, ia akan menyukarkan untuk melihat dan menilai kelemahan diri sendiri dan lebih cenderung untuk menilai aib dan kelemahan orang lain.

    “Sempena Tahun Baharu 2022 yang bakal menjelang ini, sama-sama bermuhasabah dan menanamkan azam ke arah untuk menjadi hamba Allah yang lebih bertakwa, lebih patuh dan mentaati segala suruhan Allah serta menghayati ajaran-Nya,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda