Saturday, December 28, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Black Widow Jepun meninggal dunia

    TOKYO, 27 DIS – Chisako Kakehi, seorang banduan di Jepun yang dikenali sebagai Black Widow kerana menggunakan sianida untuk membunuh pasangannya yang tua telah meninggal dunia di pusat tahanan Osaka pada usia 78 tahun, menurut pegawai setempat, hari ini.

    Kakehi dijatuhkan hukuman mati atas pembunuhan tiga lelaki, termasuk suaminya, serta cubaan membunuh seorang lagi lelaki kira-kira sedekad lalu, dalam kes yang menggemparkan negara itu.

    “Kematiannya disahkan di sebuah hospital semalam,” kata seorang pegawai Kementerian Kehakiman kepada AFP, selepas Kakehi ditemui terbaring di dalam selnya di pusat tahanan tersebut.

    Punca kematian masih belum dikenal pasti, namun media Jepun melaporkan ia mungkin disebabkan oleh penyakit yang tidak didedahkan.

    Hukuman mati terhadap Kakehi dikekalkan pada 2021, dengan Hakim Mahkamah Agung, Yuko Miyazaki, menyatakan bahawa dia telah ‘menggunakan sianida ke atas lelaki-lelaki tersebut selepas berjaya menagih kepercayaan mereka sebagai pasangan hidup.’

    “Ia adalah jenayah yang dirancang dengan kejam dan berdasarkan niat membunuh yang tegar,” kata Miyazaki.

    Kakehi dilaporkan memperoleh kira-kira AS$9 juta pada waktu itu melalui tuntutan insurans dan warisan harta dalam 10 tahun, namun kehilangan sebahagian besar wang itu akibat gagal dalam pelaburan kewangan.

    Beliau menjalin hubungan terutamanya dengan lelaki berusia atau yang sakit dan sebahagian daripada mereka ditemui melalui agensi temu janji, dengan syarat pasangan prospektif harus kaya dan tidak mempunyai anak.

    Racun sianida ditemui dalam tubuh sekurang-kurangnya dua lelaki yang mempunyai hubungan dengannya, sementara pihak polis turut menemui kesan sianida di dalam sampah rumahnya di Kyoto. – AFP

    Gambar fail bertarikh 13 Mac 2014 menunjukkan Kakehi semasa tiba di Mahkamah Daerah Kyoto. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda