Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bot karam, 130 dikhuatiri lemas

    MOSCOW, 23 APRIL – Kira-kira 130 pencari suaka dikhuatiri maut apabila sebuah bot getah terbalik di Laut Mediterranean berdekatan pantai Libya, lapor Sputnik memetik pertubuhan bukan kerajaan, SOS Mediterranee.

    “Hari ini, setelah berjam-jam mencari, kebimbangan kami menjadi kenyataan. Kru Ocean Viking menyaksikan akibat daripada bot yang dikaram itu di timur laut Tripoli. Bot dengan lebih kurang 130 orang penumpang ini dilaporkan mengalami masalah pada Rabu pagi,” kata badan amal itu dalam satu kenyataan semalam.

    Menurut SOS Mediterranee, sebuah pesawat agensi persempadanan EU Frontex mengesan bot yang terbalik, sementara kapal badan amal itu, Ocean Viking, tidak menemui mangsa yang terselamat dan melihat sekurang-kurangnya 10 mayat mangsa.

    “Kami sangat dukacita. Kami memikirkan mereka yang telah kehilangan nyawa dan keluarga yang mungkin tidak pernah mendapat kepastian mengenai apa yang berlaku pada orang yang mereka sayangi,” kata SOS Mediterranee. Eropah menyaksikan kemasukan pendatang dan pelarian dalam beberapa tahun terakhir, yang melarikan diri daripada perang dan kemiskinan di negara mereka di Afrika dan Asia Barat.

    Ramai pencari suaka mati di perairan Laut Mediterranean ketika cuba sampai ke Eropah. Menurut SOS Mediterranee selain korban terbaharu itu, lebih 350 pendatang telah kehilangan nyawa mereka di Laut Mediterranean tahun ini. – Bernama

    Serpihan dingi yang sepatutnya membawa 100 pelarian kelihatan terapung-apung di Laut Mediterranean di timur laut Tripoli, Libya. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda