Saturday, December 14, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bukti perang biologi Jepun WWII dipamerkan di Harbin

    HARBIN, 13 DIS – Bekas tapak ibu pejabat unit perang kuman Jepun yang dikenali sebagai Unit 731, terkenal semasa Perang Dunia Kedua (WWII), kini dibuka semula kepada orang ramai hari ini, dengan pameran khas menampilkan bukti-bukti kegiatan perang kuman unit tersebut.

    Menurut Timbalan Pengarah Dewan Pameran Bukti Jenayah Unit 731 Tentera Imperial Jepun, Zhang Yang, hampir 2,100 item termasuk arkib, bahan sejarah, artifak dan penerbitan yang dikumpul dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kini dipamerkan.

    Zhang berkata beberapa bukti baharu yang dipamerkan berfungsi sebagai tambahan penting kepada bahan sejarah sedia ada serta menjadi sumber berharga bagi kajian lebih mendalam tentang aktiviti perang kuman Jepun semasa WWII.

    Pameran itu turut memaparkan 347 jilid jurnal perubatan yang diterbitkan di Jepun antara 1920an hingga 1940an. Penyelidikan bersama dewan pameran dan Universiti Antarabangsa Heilongjiang telah mengenal pasti 42 kertas penyelidikan perubatan yang ditulis oleh anggota teras Unit 731, termasuk Shiro Ishii dan Masaji Kitano.

    Seorang penyelidik di dewan pameran, Jin Shicheng, berkata jurnal perubatan itu telah mendokumentasikan banyak ‘pencapai-an penyelidikan’ yang diterbitkan oleh Unit 731, melibatkan penyakit bakteria dan virus seperti antraks dan wabak.

    “Bukti ini menunjukkan interaksi dan pertukaran kakitangan antara universiti perubatan Jepun, hospital tentera dan institusi penyelidikan dengan Unit 731, mendedahkan peranan komuniti perubatan Jepun dalam menyokong perang pencerobohan terhadap China,” kata Jin.

    Pameran itu juga memaparkan dokumen litigasi insiden yang melibatkan senjata kimia yang ditinggalkan oleh tentera Jepun di China, berserta pengakuan penjenayah perang Jepun.

    Selain itu, 616 artifak yang dikumpul dalam beberapa tahun terakhir dan disumbangkan oleh pemilik persendirian, termasuk pedang tentera, seragam, peralatan perubatan, bom bakteria dan pingat tentera Jepun, turut dipamerkan.

    Unit 731 adalah pangkalan penyelidikan perang biologi dan kimia Jepun rahsia yang ditubuhkan di Harbin sebagai pusat saraf untuk perang biologi Jepun di China serta Asia Tenggara semasa Perang Dunia Kedua. – Xinhua

    Antara barang yang dipamerkan di bekas tapak Unit 731 di Harbin, wilayah Heilongjiang, timur laut China pada 12 Disember. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda