BEIJING, 22 APRIL – China dijangka melancarkan satu lagi misi ke angkasa pada minggu ini, selaras dengan usaha berterusan Beijing untuk mencapai matlamat menghantar angkasawan ke Bulan.
Misi Shenzhou-20 bakal dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China, membawa tiga angkasawan ke stesen angkasa buatan negara itu sendiri, Tiangong, bagi menjalankan misi dalam tempoh enam bulan.
Sepanjang misi ini, pasukan angkasawan akan menjalankan pelbagai eksperimen bagi menyokong cita-cita besar program angkasa China yang mensasarkan pendaratan angkasawan di Bulan menjelang tahun 2030, serta rancangan jangka panjang untuk membina pangkalan di sana.
Agensi Angkasa China (CMSA) dalam kenyataan minggu lalu memaklumkan bahawa kapal angkasa Shenzhou bersama roket pengangkut Long March-2F telah dipindahkan ke tapak pelancaran di kawasan gurun terpencil itu, dan pelancaran dijangka dilakukan ‘pada masa yang sesuai dalam masa terdekat.’
Beberapa gambar yang diterbitkan oleh agensi berita rasmi Xinhua menunjukkan roket putih itu berada di atas tapak pelancaran berwarna biru yang dihiasi dengan bendera kebangsaan, menghala ke langit, diiringi kain rentang merah dan emas memaparkan kata-kata pujian terhadap program angkasa lepas China.

“Pada masa ini, kemudahan dan peralatan di tapak pelancaran berada dalam keadaan baik. Pemeriksaan fungsi dan ujian bersama akan dijalankan mengikut jadual,” kata CMSA.
Pihak berkuasa setakat ini belum mendedahkan identiti angkasawan Shenzhou-20 atau butiran tugasan mereka sepanjang misi.
Zhou Wenxing, kakitangan di pusat latihan angkasawan negara itu, memberitahu saluran televisyen negara CCTV pada Ahad bahawa kru berada dalam keadaan baik, operasi yang tepat dan koordinasi yang lancar.
Misi terdahulu, Shenzhou-19, telah dilancarkan pada Oktober lalu dan dijangka tamat pada 29 April ini.
Misi itu diketuai oleh Cai Xuzhe, bekas juruterbang tentera udara berusia 48 tahun, yang pernah bertugas di stesen angkasa Tiangong dalam misi Shenzhou-14 pada tahun 2022.
Turut bersama dalam misi tersebut ialah Wang Haoze, 35, yang merupakan jurutera penerbangan angkasa wanita tunggal China dan wanita ketiga dari negara itu yang menyertai misi ke angkasa.
Seorang lagi anggota pasukan ialah Song Lingdong, 34 tahun.
Sepanjang misi ini, pasukan Shenzhou-19 menjalankan ujian bagi mengkaji kesan radiasi ekstrem, graviti, suhu dan faktor lain terhadap bata yang diperbuat daripada komponen menyerupai tanah Bulan.
Di bawah kepimpinan Presiden Xi Jinping, China terus melangkah maju dalam merealisasikan impian angkasa negara itu. – AFP