Friday, September 20, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    China dijangka sambung semula import makanan laut Jepun

    BEIJING, 20 SEPT – China berkata hari ini ia akan menyambung semula pengimportan makanan laut dari Jepun secara beransur-ansur selepas mengenakan larangan menyeluruh tahun lepas berhubung pembuangan air dari loji nuklear Fukushima.

    Pada Ogos 2023, Jepun mula mengeluarkan air terawat dari Fukushima ke Lautan Pasifik dalam operasi yang ditegaskan selamat, pandangan yang disokong oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

    Bagaimanapun, pembuangan itu telah menimbulkan tindak balas sengit dari China, yang mengelarnya sebagai pentingkan diri sendiri dan kemudiannya mengharamkan semua import makanan laut Jepun.

    Beijing dan Tokyo berkata hari ini mereka telah mencapai kata sepakat mengenai pembuangan sisa air yang akan membolehkan China menarik balik arahan tersebut.

    “China akan mula menyesuaikan langkah yang berkaitan berdasarkan bukti saintifik dan secara beransur-ansur menyambung semula import produk laut Jepun yang memenuhi keperluan dan piawaian peraturan,” kata kementerian luar Beijing dalam satu kenyataan.

    Kementerian itu berkata pegawai dari kedua-dua pihak baru-baru ini menjalankan pelbagai pusingan rundingan mengenai pembuangan sisa air dari Fukushima.

    Ia berkata Jepun telah komited untuk memenuhi kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa, melakukan yang terbaik untuk mengelak dari meninggalkan kesan negatif terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar, dan menjalankan penilaian berterusan kesan terhadap alam sekitar marin dan ekosistem marin.

    Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, berkata Tokyo telah memaklumkan Beijing tentang kesediaannya untuk menjalankan pemantauan tambahan terhadap air terawat, manakala pihak China telah memutuskan untuk memulihkan import produk perikanan Jepun secara berterusan yang memenuhi piawaian tertentu.”

    IAEA berkata dalam satu kenyataan ia akan menggabungkan Jepun dan pihak berkepentingan lain, termasuk China, untuk memastikan langkah tambahan dilaksanakan dengan sewajarnya bagi memastikan paras pembuangan air adalah, dan akan terus, dalam kawalan yang ketat dan selaras dengan piawaian keselamatan antarabangsa”. – AFP

    Pasukan pakar dari IAEA bersama saintis dari China, Korea Selatan dan Kanada memerhati bakul ikan yang akan diambil sebagai sampel di Pelabuhan Hisanohama di Iwaki, Prefektur Fukushima Jepun, pada Oktober 2023. – AFP

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda