BEIJING, REPUBLIK RAKYAT CHINA, 7 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan bersama Perdana Menteri Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Li Qiang dan seterusnya berangkat ke Harbin, wilayah Heilongjiang, Republik Rakyat China.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
MAJLIS PERJUMPAAN BERSAMA TYT PM REPUBLIK RAKYAT CHINA
Pada permulaan mesyuarat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga yang terjejas akibat gempa bumi di Xizang pada Januari lalu.
Mengenai hubungan Brunei-China, Baginda menyatakan Negara Brunei Darussalam menghargai hubungan dengan China dan teguh mendukung Dasar Satu China, sambil menekankan China kekal sebagai rakan kongsi utama dan terus menghargai persahabatan teguh yang dibina selama ini.
Di samping itu, Brunei telah mendapat manfaat daripada hubungan dan pertukaran antara rakyat, serta pertukaran amalan terbaik dalam pelbagai bidang koperasi.
Sehubungan itu, Baginda menzahirkan rasa sukacita dengan keberangkatan ini, di mana kedua-dua pihak menegaskan komitmen mereka untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dengan memeterai perjanjian yang akan meluaskan dan memperdalam kerjasama dua hala.
Sementara itu, mengenai isu-isu serantau, Baginda menekankan bagi meningkatkan perkongsian serantau yang lebih kukuh bersama China, yang mana Hubungan Dialog ASEAN-China menjadi salah sebuah perkongsian yang paling komprehensif di kalangan ASEAN sejak bertahun-tahun lagi.
Ke arah ini, Baginda menzahirkan penghargaan terhadap sokongan China yang tidak berbelah bahagi, terutama di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif yang ditubuhkan semasa Negara Brunei Darussalam menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2021.
Dalam hal ini, Baginda menyuarakan pandangan bahawa usaha-usaha China yang berterusan untuk mengukuhkan kerjasama termasuk di bawah ASEAN-China Year of People-to-People Exchanges, telah mengeratkan lagi hubungan antara rakyat dan rantau ini secara signifikan.
Negara Brunei Darussalam juga mengalu-alukan Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-Teluk (GCC)-China di Kuala Lumpur, yang bertujuan untuk memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kemakmuran yang dapat dinikmati bersama di seluruh rantau ini.
Baginda juga mengalu-alukan lebih banyak peluang untuk mengukuhkan muhibah dan persahabatan antara kedua-dua negara dan rakyat.
Mesyuarat tersebut, antara lainnya, menekankan perkembangan hubungan dua hala, di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah mengongsikan bahawa sejak tahun 2018, Perkongsian Strategik Komprehensif di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China telah melakar perkembangan yang signifikan dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian, perikanan, dan pertukaran antara rakyat.
Selain itu, kedua-dua pihak telah memperdalamkan hubungan ekonomi melalui projek kerjasama petrokimia bersama Hengyi dan pembangunan Terminal Kontena Muara dengan kerjasama Beibu Gulf.
Mengenai kerjasama tenaga, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya mengongsikan bahawa Fasa 1 bagi projek Hengyi dapat diselesaikan dengan jayanya, sekali gus menjadi pencapaian penting bagi sektor hiliran minyak dan gas Negara Brunei Darussalam.
Didorong oleh kejayaan ini, Negara Brunei Darussalam berhasrat untuk melanjutkan Fasa 2, yang mempunyai sasaran untuk meningkatkan nilai eksport petrokimia dengan dua kali lipat ganda di negara ini.
Baginda seterusnya menambah, Brunei Darussalam yakin dengan perkembangan pelaburan asing dari China di negara ini dan menyambut baik pelaburan yang akan menyumbang kepada usaha mempelbagaikan ekonomi negara ini.
Baginda turut menyuarakan pandangan bahawa kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan China dalam pelbagai projek telah membuahkan manfaat ekonomi yang penting kepada kedua-dua buah negara.
Dalam perkara ini, Baginda menyatakan ketersediaan untuk membangun kapasiti Negara Brunei Darussalam dalam pertanian dan perikanan melalui program pembangunan kapasiti untuk meningkatkan eksport ke China.
Kepakaran China dalam pengeluaran padi hibrid, termasuk penubuhan Pusat Penyelidikan Padi Hibrid di Negara Brunei Darussalam, yang penting kepada matlamat kebangsaan Negara Brunei Darussalam untuk menjadi mampu diri, juga telah dihargai oleh Baginda.
Oleh itu, Baginda menekankan bahawa sokongan China yang berterusan terhadap Koridor Ekonomi Brunei-Guangxi dan Terminal Kontena Muara akan dapat mentransformasikan Negara Brunei Darussalam selaku hab serantau sebagai pintu masuk China kepada ASEAN, BIMP-EAGA dan selanjutnya.
Baginda turut menyuarakan pandangan bahawa perjanjian pengecualian visa di antara Negara Brunei Darussalam dan China telah memudahkan perjalanan bagi rakyat dari kedua-dua buah negara, ke arah meningkatkan lagi pelancongan dan mengeratkan hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara.
Kedua-dua pihak juga telah sama-sama meraih banyak pencapaian, dan untuk itu, Baginda yakin kerjasama di antara kedua-dua buah negara akan terus berkembang di bawah perjanjian-perjanjian yang dimeterai semasa keberangkatan ini.
Kepentingan platform serantau, khususnya Hubungan ASEAN-China dan Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau, juga telah digariskan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam menangani cabaran-cabaran landasan geopolitik dan geoekonomi yang kian berubah.
Ke arah ini, Baginda menghargai komitmen teguh China dalam Hubungan Dialog ASEAN-China dan merakamkan penghargaan atas penglibatan TYT Li Qiang dalam mesyuarat-mesyuarat ASEAN.
Perkongsian Strategik Komprehensif memperkukuhkan hubungan rapat serta komitmen bersama ASEAN dan China, yang membawa kerjasama serta prinsip saling percayai dan hormat-menghormati ke peringkat yang lebih tinggi.
Tambahan lagi, Brunei juga berhasrat untuk memperdalamkan penglibatan dalam perdagangan, tenaga dan digitalisasi, yang menjadi asas bagi memastikan kemapanan pada masa hadapan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengalu-alukan sokongan China terhadap penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN di Negara Brunei Darussalam, yang mana inisiatif tersebut akan memperkukuhkan usaha-usaha kebangsaan dan serantau dalam menangani perubahan iklim dan meningkatkan lagi kepimpinan global bagi China.
Akhir sekali, Baginda memuji China atas peranan dan usaha pengantaraan dalam bantuan kemanusiaan di Myanmar, terutama dalam penghantaran barang-barang bantuan. Negara Brunei Darussalam kekal komited terhadap mendukung usaha-usaha ASEAN untuk mencari jalan penyelesaian yang berpanja-ngan untuk Myanmar, yang diterajui dan dimiliki Myanmar melalui pelaksanaan Konsensus Lima Perkara.
Baginda juga menjemput TYT Li Qiang untuk mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam.
BERANGKAT BERTOLAK DARI BEIJING
Selesai Keberangkatan Negara di Beijing, Republik Rakyat China, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat bertolak ke Harbin, wilayah Heilongjiang, China bagi menghadiri Majlis Pembukaan Sukan Musim Sejuk Asia ke-9 yang akan berlangsung hari ini.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Sebelum berangkat, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Asia, Kementerian Hal Ehwal Luar, Yu Hong.
KEBERANGKATAN TIBA DI HARBIN
Sejurus keberangkatan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Harbin TaiPing, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Pengerusi Heilongjiang Provincial Committee of the Chinese People’s Political Consultative Conference, Lan Shaomin dan Timbalan Ketua Pengarah, Pejabat Hal Ehwal Luar Wilayah Heilongjiang, Liu Yan.