Penyanyi Chuu telah melancarkan mini album ketiganya berjudul Only Cry in the Rain, pada 21 April jam 6 petang waktu Korea (KST), bersama muzik video lagu utama yang turut menggunakan judul sama, di pelbagai platform muzik dalam talian.
Menurut AllKpop, kemunculan ini menandakan kemunculan semula pertamanya dalam tempoh kira-kira 10 bulan, selepas mini album keduanya Strawberry Rush yang dikeluarkan pada Jun 2024.
Sepanjang tempoh itu, Chuu terus berhubung dengan peminat menerusi lagu-lagu seperti Second Love, IN MY DREAM, nrv, dan Am I Stupid for Loving You?
Mini album Only Cry in the Rain mengisahkan perjalanan untuk menghadapi kekuatan yang tidak kelihatan namun berkuasa seperti ‘memori’ dan ‘emosi,’ serta melangkah ke hadapan melalui refleksi diri.
Album ini mengajak pendengar mengingati semula perasaan yang mungkin telah dilupakan, dan menyedari bagaimana emosi tersebut membentuk siapa diri mereka hari ini, sambil menonjolkan introspeksi lirik dan kematangan seni Chuu.

Mesej berterusan Chuu mengenai ‘emosi’ dan ‘kejujuran,’ yang telah disampaikan melalui lagu-lagunya sebelum ini, hadir dengan lebih jelas dalam album ini.
Jika Howl dan Strawberry Rush meneroka identiti tersembunyi menggunakan metafora ‘raksasa,’ Only Cry in the Rain pula menyampaikan mesej penghiburan kepada generasi muda hari ini: “Tidak mengapa untuk jujur dengan perasaan sendiri – sekurang-kurangnya pada hari hujan.”
Lagu utamanya menggabungkan bunyi synth-pop yang diinspirasikan oleh aliran new wave dengan irama rancak serta nuansa melankolik, menyerlahkan lagi identiti muzik unik Chuu.
Muzik videonya pula mencuri perhatian dengan visual retro penuh nostalgia. Berlatarkan estetika Y2K dan rakaman kamera digital serta camcorder, video tersebut bercerita tentang persahabatan dan cinta, disusun seperti filem pendek.
Sesuai dengan judul lagunya, Chuu dilihat menangis hanya ketika hujan – mewakili saat kejujuran emosi yang jarang ditunjukkan.
Selain lagu utama Only Cry in the Rain, mini album ini turut memuatkan lagu-lagu Back in Town, Kiss a Kitty, Je t’aime dan No More. – Agensi