LONDON, 1 JAN – Penyerang Wolves, Matheus Cunha, dikenakan penggantungan dua perlawanan kelmarin selepas pertengkaran dengan kakitangan Ipswich berikutan kekalahan pasukannya dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Cunha dilihat berdepan dengan anggota pasukan keselamatan Ipswich selepas wisel penamat kekalahan 2-1 Wolves kepada saingan penyingkiran mereka di Molineux pada 14 Disember.
Dia dilaporkan telah menyiku seorang anggota kakitangan Ipswich sebelum merampas cermin mata lelaki itu dari mukanya.
Rakan sepasukan Cunha, Rayan Ait-Nouri, turut dilayangkan kad merah selepas Jack Taylor membolosi gawang Ipswich pada masa kecederaan.
Cunha didakwa oleh Persatuan Bola Sepak dan kemudiannya mengakui pertuduhan itu.
Suruhanjaya bebas telah menggantung pemain Brazil itu untuk dua perlawanan seterusnya Wolves dan membayar denda AS$100,000.
FA berkata alasan bertulis untuk keputusan sekatan suruhanjaya itu akan diterbitkan dalam masa terdekat.
Pemain berusia 25 tahun itu akan terlepas perlawanan Liga Perdana antara Wolves dengan Nottingham Forest pada Isnin depan dan pusingan ketiga Piala FA menentang Bristol City.
Cunha boleh dikatakan salah seorang pemain Wolves yang paling menyerlah, dengan 10 gol dalam 19 perlawanan liga musim ini.
Ketiadaannya akan menjadi tamparan hebat kepada Wolves, yang hanya berada satu tempat dan satu mata di atas zon penyingkiran.
Kekalahan kepada Ipswich menandakan penghujung karier buat pengurus Gary O’Neil, yang dipecat dan digantikan oleh pengurus Portugal, Vitor Pereira. – AFP