Friday, September 20, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Daihatsu gantung semua pengeluaran domestik

    TOKYO, 26 DIS – Pembuat kereta dari Jepun, Daihatsu telah menggantung semua pengeluaran domestiknya kerana syarikat milik Toyota itu menghadapi skandal ujian keselamatan besar-besaran.

    Firma itu, yang mempunyai kira-kira 9,000 orang pekerja kilang di Jepun, telah menutup yang terakhir daripada empat buah kilang domestiknya, kata jurucakap Daihatsu kepada AFP hari ini.

    “Pengeluaran akan digantung sehingga Januari. Kami belum dapat menilai dengan tepat bila pengeluaran domestik dapat disambung semula,” kata jurucakap itu.

    Langkah itu boleh menjejaskan lebih daripada 8,000 buah syarikat di seluruh negara, menurut firma penyelidikan swasta.

    Minggu lalu, syarikat itu berkata ia telah memanipulasi ujian keselamatan sejak sekurang-kurangnya 1989, menjejaskan 64 buah model, termasuk beberapa yang dijual di bawah jenama Toyota yang juga digantung.

    Pada April lalu, pihaknya telah memalsukan keputusan ujian kemalangan untuk empat modelnya, melibatkan sejumlah 88,000 buah kenderaan buatan Thailand dan Malaysia pada 2022 dan 2023.

    Pada bulan Mei, ia mengumumkan bahawa ia menghentikan pengeluaran di Jepun bagi dua model kenderaan hibrid kerana ‘ketidaksekataan’ yang sama, termasuk SUV Toyota Raize, yang dihasilkan bagi pihak syarikat induknya.

    Ditubuhkan pada tahun 1907 untuk mengeluarkan enjin pembakaran dalaman, Daihatsu yang berpangkalan di Osaka melancarkan kenderaan roda tiga pertamanya pada tahun 1931, sebelum diambil alih oleh Toyota pada tahun 1967. – AFP

    Gambar menunjukkan pejabat jualan Daihatsu Motor di Tokyo 22 Disember 2023. Daihatsu telah menggantung semua pengeluaran domestiknya dan belum diketahui bila akan disambung semula. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda