Friday, October 4, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Deklarasi Doha seru gencatan senjata, bantuan kemanusiaan Gaza

    DOHA, 4 OKT – Deklarasi Doha, yang dikeluarkan pada Sidang Kemuncak Dialog Kerjasama Asia Ketiga dengan tumpuan pada “Diplomasi Sukan,” menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata segera dan menyeluruh di Gaza, serta akses tanpa sekatan untuk bantuan kemanusiaan ke wilayah berkenaan, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

    Sidang kemuncak itu dirasmikan oleh ketua negara dan kerajaan dari negara anggota Dialog Kerjasama Asia, termasuk Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

    Para pemimpin menyatakan kebimbangan mendalam terhadap situasi yang semakin memuncak di Gaza, menyeru gencatan senjata menyeluruh dan pembebasan segera serta tanpa syarat semua tahanan daripada kedua-dua pihak berdasarkan persetujuan bersama.

    Mereka mengulangi sokongan kuat terhadap keahlian penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menekankan kepentingan mencapai penyelesaian menyeluruh, adil, dan berkekalan bagi isu Palestin.

    Deklarasi itu menekankan kepentingan kerjasama dan dialog dalam memupuk keamanan dan kestabilan dalam kalangan negara anggota Dialog Kerjasama Asia, dengan tujuan mencapai pertumbuhan inklusif dan pembangunan mampan, seperti yang dicerminkan dalam Visi 2030 bagi Kerjasama Asia.

    Selain itu, para pemimpin menekankan kepentingan sukan belia dengan mempromosikan acara sukan belia antarabangsa merentas pelbagai disiplin. Mereka juga menegaskan penubuhan program pertukaran budaya yang menghubungkan aktiviti sukan dengan komponen pendidikan bagi meningkatkan pemahaman dan persahabatan antara budaya. – Bernama

    Mahmoud Abbas semasa berucap pada sesi ke-79 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di ibu pejabat PBB pada 26 September. Beliau merasmikan Sidang Kemuncak Dialog Kerjasama Asia Ketiga. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda