Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Empat lelaki dan seorang wanita yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan termasuk pecah masuk rumah untuk melakukan curi, curi kereta, menukar plat kereta, menyimpan barang curi dan melakukan kerosakan, membuat pengakuan masing-masing di Mahkamah Perantaraan.
Mohd Dzulfadli bin Abdullah, 36 tahun dan Norlila Wati binti Hassan, 35, akan mengetahui hukuman mereka pada 9 Julai sebaik tarikh sebutan hukuman ini ditetapkan Hakim Muhammed Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli.
Manakala itu, Rudy bin Haji Sinin, 40, yang hanya membuat pengakuan bersalah untuk satu tuduhan pecah masuk rumah akan menerima hukumannya sebaik selesai tempoh perbicaraannya sementara, Mohammad Khairul Hafiz bin Abdullah, 18 dan Mohd Firdaus bin Morni, 26, yang mengaku tidak bersalah akan berdepan dengan perbicaraan.
Dzulfadli, Norlila, Rudy dan dua lagi didakwa memecah masuk sebuah rumah di Kampung Maraburong, Tutong bagi tujuan mencuri pada 12 April 2018 antara waktu tengah hari hingga 3 petang. Dzulfadli menjual komputer riba dan silinder gas yang dicuri dari rumah itu.
Dalam kes lain, Dzulfadi, Rudy dan dua lagi didakwa melakukan curi di sebuah rumah di Kampung Biong antara jam 10 pagi dan 6 petang pada 9 April 2018.
Dzulfadli dan tiga lagi turut didakwa memecah masuk rumah di Kampung Kuala Ungar, Tutong sekitar April 2018 dan mencuri alat gulingtangan yang kemudian dijual pada harga $300.
Dalam satu lagi kes, Dzulfadli, Norlila dan seorang lagi didakwa mencuri sebuah kereta dari garaj sebuah rumah di Kampung Serasa antara jam 10 malam pada 23 Januari 2018 dan 5:30 pagi pada 24 Januari 2018
Dzulfadli juga didakwa melakukan kerosakan pada kereta berkenaan dengan menyembur jalur biru pada kereta itu dan turut menukar plat asal kereta dengan yang lain antara 23 dan 24 Januari 2018.
Norlila yang mengetahui kereta itu adalah kereta curi telah menyimpan dan menggunakan kereta itu untuk dirinya.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Sabrina binti Haji Mahmud.