Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Individu memiliki barang-barang tegahan berupa daging mentah di rumahnya di Kampung Kilanas, Dayang Zuraiyati binti Haji Zainal telah dikenakan denda $900 di bawah Perintah Eksais 2006.
Dayang Zuraiyati didapati bersalah kerana memiliki sejumlah 135.8 kilogram (kg) tongkeng ayam dan 9.2kg daging mentah.
Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), dia ditahan dalam satu operasi bersepadu dijalankan oleh pegawai-pegawai penguatkuasaan Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) di Jabatan Hal Ehwal Syariah dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja pada 5 Julai lalu.
Sehubungan itu, KHEU menyarankan para peniaga supaya memastikan daging-daging mentah diterima daripada pembekal daging halal yang sah sama ada dari pusat penyembelihan tempatan yang mempunyai sijil halal, sijil penyembelih dan lesen membekal atau pengimport yang telah mendapat permit import halal dari Majlis Ugama Islam Brunei.
BKMH bersama-sama agensi penguatkuasaan lain akan sentiasa meningkatkan rondaan dan operasi bagi memastikan undang-undang dan peraturan-peraturan di negara ini sentiasa dipatuhi.