Thursday, May 9, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Pegawai KHEU hadiri persidangan antarabangsa

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Empat orang pegawai Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Negara Brunei Darussalam menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Kohesif yang sedang berlangsung di Raffles City Convention Centre, Republik Singapura bermula kelmarin hingga 8 September.

    Delegasi dari KHEU berkenaan terdiri daripada Pegawai Ugama Kanan, Pusat Dakwah Islamiah selaku ketua rombongan, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman; Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim; Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama, Awang Muhammad Yussof bin Abdul Majid, dan Pegawai Pelajaran, Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, KHEU, Dayangku Musharafah binti Pengiran Haji Kamarudin.

    Persidangan berkenaan menghimpunkan lebih 800 peserta termasuk para cendekiawan dari pelbagai latar belakang akademik, perwakilan dari agensi-agensi kerajaan dan swasta serta kumpulan agama tempatan dan antarabangsa.

    Persidangan ini juga memuatkan Program Pemimpin Muda yang membolehkan pemimpin-pemimpin muda di peringkat serantau dan antarabangsa menggunakan platform persidangan ini untuk membangunkan rangkaian kenalan dan bekerjasama dalam perpaduan sosial dan pembangunan masyarakat.

    Antara agenda persidangan termasuk membincangkan peranan agama dalam merapatkan jurang, peranan identiti dalam mencorak bagaimana individu berhubung sesama sendiri dan dengan masyarakat, serta kepentingan teknologi dalam merapatkan jurang perbezaan dan memupuk kepercayaan bersama.

    Selain itu, persidangan ini juga sebagai platform untuk para peserta dari negara lain berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar buah fikiran ke arah membina masyarakat bersepadu dan harmoni.

    Haji Ahmad Abdussalam, Haji Mohammad Albi, Awang Muhammad Yussof dan Dayangku Musharafah semasa menghadiri persidangan yang berlangsung di Raffles City Convention Centre, Republik Singapura. – Gambar serahan KHEU
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Hong Kong gagalkan percubaan rompakan

    HONG KONG, 8 MEI - Polis Hong Kong menahan lima lelaki yang cuba merompak sebuah kedai barang kemas, dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)...