DAMSYIK, 27 FEB – Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry hari ini menjanjikan solidariti bersama rakyat Syria selepas gempa bumi yang menyaksikan sokongan dari negara Arab, semasa lawatan beliau ke negara itu.
Lawatan itu adalah contoh terbaharu sokongan serantau terhadap kerajaan Presiden Bashar Al Assad yang disingkirkan daripada Liga Arab di Kaherah selepas konflik Syria meletus pada 2011.
Beliau merupakan Menteri Luar Arab ketiga yang bertemu dengan Assad sejak gempa bumi melanda Syria dan Turkiye pada 6 Februari, membunuh lebih daripada 46,000 orang, selepas Emiriah Arab Bersatu dan Jordan menghantar diplomat tertinggi mereka.
Shoukry mengadakan rundingan dengan Assad dan rakan sejawatan Syria, Faisal Mekded, dan berkata beliau menyampaikan perutusan ‘solidariti dan simpati’ bagi pihak Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi.
Kaherah bersedia untuk menyalurkan lebih banyak bantuan kepada mangsa gempa, beritahunya pada sidang media dengan Mekdad.
Assad mengucapkan terima kasih kepada Mesir ‘atas bantuannya dalam menyokong usaha kerajaan untuk membantu mereka yang terjejas oleh gempa,” menurut kenyataan dari pejabatnya.
Ketika ditanya sama ada hubungan Mesir Syria akan pulih sepenuhnya, Shoukry berkata hari ini tujuan lawatannya adalah ‘bersifat kemanusiaan.’
Menteri Luar Mesir juga dijangka melawat Turkiye, yang juga mempunyai hubungan tegang selama satu dekad dengan negara itu. – AFP