BANGKOK, 22 APRIL – Mahkamah Thailand hari ini telah mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukuman ke atas dua bekas pendakwa raya berhubung dakwaan cubaan menutup kes nahas Ferrari pada 2012 yang melibatkan waris empayar minuman tenaga Red Bull dan mengakibatkan kematian seorang pegawai polis.
Bekas Timbalan Peguam Negara, Nate Naksuk, dan bekas pendakwa raya, Chainarong Sangthongaram, masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga dan dua tahun atas kesalahan menyalahgunakan kuasa untuk membantu individu mengelak daripada pendakwaan, menurut Mahkamah Jenayah Pusat bagi Kes Rasuah dan Salah Laku di Bangkok.
Mereka adalah antara lapan individu yang didakwa berkomplot untuk mengubah catatan kelajuan kereta Ferrari yang dipandu oleh Vorayuth ‘Boss’ Yoovidhya bagi membolehkannya terlepas daripada tuduhan memandu melebihi had laju.
Bagaimanapun, enam yang lain, termasuk bekas Ketua Polis Negara, Jeneral Somyot Poompanmoung – dibebaskan kerana kekurangan bukti yang mengaitkan mereka dengan usaha menutup kes, menurut kenyataan mahkamah hari ini. – AFP
