Saturday, September 28, 2024
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua warga Itali antara penumpang bas terbabas dalam gaung di Lahad Datu

    LAHAD DATU, 21 JUN – Dua pelancong wanita warga Itali antara 19 individu yang berada di dalam sebuah bas ekspres yang terbabas ke dalam gaung di Jalan Silam, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata kemalangan pada 9:11 malam itu menyebabkan dua wanita berumur 22 dan 36 tahun cedera parah, manakala 17 individu lagi mengalami cedera ringan termasuk dua pelancong Itali tersebut serta pemandu bas.

    Beliau berkata sampel darah pemandu bas telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia di Kota Kinabalu bagi tujuan ujian alkohol serta dadah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Insp Muhammad Rasul Ramlee atau ke Balai Polis Lahad Datu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dzulbaharin turut menasihatkan pengguna jalan raya agar memandu secara behemah ketika musim hujan serta memeriksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan.

    Sebelum ini, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata sebuah bas ekspres dari arah Semporna ke Kota Kinabalu terbabas ke gaung sedalam 50 meter. – Bernama

    Gambar ANN/The Star
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda