NEW YORK, 30 OKT – Wakil tetap Turkiye ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ahmet Yildiz mengumumkan pada Selasa bahawa Turkiye, bersama-sama dengan gabungan negara utama telah mengeluarkan surat bersama yang menggesa supaya pemindahan senjata ke Israel dihentikan, lapor agensi Anadolu (AA).
Berucap dalam perbahasan terbuka mengenai “Situasi di Timur Tengah, termasuk persoalan Palestin,” Yildiz menekankan bahawa Israel telah mendorong rantau itu ke ambang perang besar-besaran dengan jenayah perang yang belum pernah berlaku sebelum ini.
“Kami membuat seruan kolektif ini untuk mengambil langkah segera bagi menghentikan penyediaan atau pemindahan senjata, peluru dan peralatan berkaitan kepada Israel dalam semua kes di mana terdapat alasan munasabah untuk mengesyaki bahawa ia mungkin digunakan di Wilayah Palestin yang Diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, seperti yang dinyatakan dalam Resolusi Perhimpunan Agung ES-10/24 pada 18 September 2022.
“Langkah ini penting untuk menamatkan pendudukan haram Israel, menghalang pelanggaran selanjutnya terhadap orang awam di Gaza dan seluruh Wilayah Palestin yang Diduduki serta di Lubnan dan mencegah peningkatan ketegangan serantau,” katanya.
Menggesa semua negara agar kekal berada di “sisi sejarah yang benar” dan menyertai inisiatif kolektif, Yildiz menekankan bahawa “pertumpahan darah mesti dihentikan.”
Menurut beliau, Turkiye mengecam tindakan Knesset Israel yang meluluskan undang-undang untuk melarang Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin daripada beroperasi di Israel.
“Rang undang-undang ini menyasarkan agensi itu dan pelarian Palestin dengan menghentikan perkhidmatan menyelamatkan nyawa UNRWA. Sasaran utama ialah status pelarian itu sendiri. Perundangan ini jelas merupakan pelanggaran terhadap kewajipan Israel di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya. – Bernama