Sunday, January 19, 2025
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekonomi Brunei diramal berkembang 2.8 peratus

    Oleh Azlan Othman

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Ekonomi Negara Brunei Darussalam diramalkan berkembang 2.8 peratus tahun ini dengan sokongan daripada industri huluan dan hiliran sektor minyak dan gas tatkala permintaan luar bertambah kukuh, selepas menyaksikan penguncupan 0.7 peratus pada tahun lalu.

    Pusat Pengkajian Strategik dan Dasar (CSPS) menekankan perkara itu dalam laporan Prospek Ekonomi Brunei 2021 yang dikeluarkan di laman webnya baru-baru ini.

    Menurut laporan itu, sektor perkhidmatan dijangka mencatatkan pemulihan namun sektor perjalanan dan pelancongan dijangka masih lembap. Lebihan akaun semasa
    diramalkan kekal tinggi, mencerminkan lebihan dagangan yang memberangsangkan.

    Manakala defisit fiskal dijangka menguncup disebabkan prospek yang lebih baik untuk harga minyak dan gas, dengan inflasi dijangka sederhana selepas mencatatkan peningkatan besar dalam 2020.

    CSPS bagaimanapun menjelaskan ramalan mungkin terjejas oleh beberapa risiko negatif, termasuk gelombang jangkitan baharu COVID-19, penangguhan dalam pembangunan dan penghantaran vaksin yang selamat dan efektif, pertumbuhan global dan harga komoditi yang lebih lemah daripada dijangka, dan gangguan bekalan minyak dan gas domestik.

    Dasar utama sekarang harus menumpu pada respons kesihatan awam mapan, menyokong keluarga dan firma yang mudah terjejas bertujuan memulihkan pertumbuhan dan pekerjaan, memperkukuh kedudukan fiskal dengan menambah pendapatan demi memastikan kemapanan jangka panjang dan mempercepat pembaharuan struktural untuk merebut peluang pertumbuhan baharu.

    Laporan juga memaparkan artikel pendek mengenai bagaimana COVID-19 menjejas ekonomi, respons Brunei terhadap wabak COVID-19, pembangunan kelompok dan pempelbagaian ekonomi, perkembangan dan prospek pasaran minyak dan pengemaskinian perkembangan vaksin COVID-19.

    Laporan menambah bahawa ekonomi Brunei mencatat kemelesetan pada 2020 disebabkan permintaan luar yang lemah, harga komoditi rendah dan kesan langkah kawalan domestik.

    Dalam suku ketiga 2020, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkurangan kepada 0.5 peratus tahun-ke-tahun, selepas mencatat pertumbuhan sebanyak 2.7 peratus dalam separuh tahun pertama. Pertumbuhan sebahagiannya disokong oleh sektor minyak dan gas hiliran, terutamanya pengeluaran dan eksport petroleum dan produk petrokimia.

    Selain itu, eksport minyak dan gas asli cecair (LNG) telah terkesan oleh gangguan pengeluaran domestik serta permintaan dan harga yang lemah. Aktiviti sektor perkhidmatan telah pulih ekoran pelonggaran langkah ketat.

    Sektor perniagaan runcit dan telekomunikasi berjaya bertahan memandangkan penutupan sempadan menambah perbelanjaan untuk barangan runcit dan bekalan penting sementara pengaturan kerja dari rumah mendorong kepada permintaan lebih tinggi untuk produk elektronik dan perkhidmatan ICT.

    Secara perbandingan, pengangkutan udara dan sektor hotel telah terjejas teruk disebabkan sekatan perjalanan antarabangsa. Imbangan perniagaan merosot kepada julat defisit dalam suku ketiga 2020. Sekatan perjalanan yang dikenakan di seluruh dunia membawa kepada permintaan lebih rendah untuk bahan api jet, diesel dan gasolin.

    Sebaliknya, penggunaan awam dan pelaburan terjejas oleh pendapatan kerajaan yang lebih rendah. Inflasi meningkat dalam separuh tahun pertama 2020 namun menjadi sederhana dalam suku ketiga. Harga pengguna meningkat mendadak dalam separuh tahun pertama 2020 disebabkan kemerosotan dalam kadar tukaran dan kekurangan beberapa produk import tertentu berpunca daripada gangguan rantaian bekalan global.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda