TOKYO, 30 OKT – Keadaan politik yang tidak menentu selepas pilihan raya mengejutkan di Jepun berisiko memperlahankan pembaharuan ekonomi, meningkatkan perbelanjaan kerajaan Jepun dan mungkin menangguhkan rancangan Bank Jepun (BoJ) untuk keluar daripada dasar monetari luar biasa, kata ahli ekonomi.
Jepun lama dikenali sebagai lambang kestabilan politik, dengan Parti Liberal Demokratik (LDP) yang konservatif dan mesra pasaran menerajui tampuk pentadbiran selama 69 tahun kecuali empat tahun yang lalu.
Namun, gabungan LDP-Komeito kehilangan majoriti pada Ahad, yang mungkin memaksa Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba untuk membentuk kerajaan minoriti yang memerlukan sokongan daripada parti lain untuk meluluskan undang-undang.
Perniagaan dan ahli ekonomi bimbang bahawa sebagai konsesi kepada parti-parti lain, Ishiba, 67, akan menawarkan pemotongan cukai dan peningkatan perbelanjaan serta melambatkan pembaharuan yang diperlukan untuk meningkatkan daya saing Jepun.
Sejak 2021, “negara ini telah mempunyai tiga perdana menteri, dan Ishiba mungkin juga tidak akan bertahan lama dalam jawatan tersebut,” ramal Marcel Thieliant dari Capital Economics.
“Ia bermakna projek pembaharuan besar-besaran tidak mungkin berlaku,” katanya merujuk kepada perubahan yang sudahpun ‘amat jarang berlaku’ dalam dekad yang lalu.
Syetarn Hansakul dari Unit Perisikan Ekonomi turut menjangkakan akan berlaku pengurangan dalam agenda pembaharuan LDP, yang termasuk rancangan untuk meningkatkan perbelanjaan dalam bidang pertahanan dan kebajikan sosial.
Selain sentimen pelabur, perkara itu juga akan “menjejas keyakinan dalam kalangan isi rumah dan perniagaan. Pemulihan permintaan domestik mungkin juga terkesan akibatnya,” katanya.
Ishiba telah berjanji untuk memberikan lebih banyak sokongan kepada isi rumah, mempercepatkan kenaikan gaji dan membantu menghidupkan semula kawasan luar bandar, namun beberapa parti pembangkang mahukan lebih daripada itu. – AFP