Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Enam pegawai dari Kementerian Pertahanan telah menerima anugerah OBOE Endeavour Academic Excellence dari kerajaan Australia sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang di dalam Kursus Maktab Turus Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-14 dalam majlis penyampaian anugerah yang berlangsung di Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (AP ABDB), Tanah Jambu, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian anugerah kepada para penerima ialah Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Luke Lazarus Arnold.
Turut hadir ialah Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim selaku wakil kepada Pemerintah ABDB, pemangku-pemangku pemerintah angkatan tentera, timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan; kakitangan dari Suruhanjaya Tinggi Australia, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai ABDB serta penerima-penerima anugerah dari 2018 hingga 2023.
Dalam ucapan alu-aluannya pada majlis itu, Komandan AP ABDB, Kolonel Pengiran Sharifuddin bin Pengiran Haji Yusof menghargai komitmen dari Negara Brunei Darussalam dan Australia dalam memelihara hubungan erat yang telah terjalin selama lebih dua dekad melalui aktiviti-aktiviti pertahanan.
Beliau turut menekankan penganugerahan itu sebagai saluran untuk mencapai matlamat bersama serta mengucapkan tahniah kepada para penerima anugerah OBOE Endeavour Academic Excellence daripada Kursus Maktab Turus ABDB Ke-14.
Beliau turut menyentuh tentang kepentingan sejarah OBOE sebagai ristaan sejarah yang dikongsi antara kedua-dua buah negara dan menyampaikan penghargaan tulus ikhlas kepada kerajaan Australia atas sokongan berterusan mereka dalam meningkatkan kursus tersebut dengan mengiktiraf kecemerlangan.
Sementara itu, dalam ucaptama pada majlis berkenaan, TYT Luke Arnold mengucapkan tahniah kepada para penerima-penerima anugerah atas pencapaian cemerlang mereka dan menekankan peningkatan prestij program lawatan Anugerah OBOE.
Beliau turut menyifatkan perkongsian itu sebagai melambangkan komitmen bersama dan berfungsi sebagai asas penting bagi mengekalkan keamanan, kestabilan serta kemakmuran di rantau Indo-Pasifik, terutama dalam landskap yang pesat berubah dan cabaran strategik yang semakin kompleks.
TYT Luke Arnold juga menyampaikan harapan supaya para peserta dapat merebut peluang itu untuk bukan sahaja memperoleh pengetahuan dan pemahaman yang bernilai tetapi juga untuk melibatkan diri dalam pengalaman berkenaan, membina persahabatan yang berkekalan serta memperkukuhkan semangat setia kawan dengan rakan-rakan mereka dari Australia.
Majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah oleh TYT Luke Arnold kepada enam penerima iaitu 805 Mejar (U) Haji Ilhamdi bin Haji Mohd Dali, 854 Mejar (U) Dayangku Nurazriana binti Pengiran Hassanan dan 904 Mejar (U) Mohd Adi Faiz bin Haji Abu Bakar, kesemuanya dari TUDB bersama-sama dengan 928 Leftenan Komander Muhamad Adib Izzuddin bin Haji Ramli dan 929 Leftenan Komander Mohd Shahrul Idham bin Haji Bungsu dari Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) serta Awang Mohammad Hazwan bin Mohammad Azani dari AP ABDB.
Anugerah OBOE Endeavour Academic Excellence merupakan Program Kecemerlangan Akademik daripada kerajaan Australia, yang dianugerahkan kepada peserta-peserta Kursus Maktab Turus yang telah mencapai keputusan cemerlang semasa menjalankan kursus berkenaan.
Pegawai-pegawai berkenaan akan dijemput ke Australia untuk bersemuka dengan pegawai-pegawai kanan dari Angkatan Pertahanan Australia, melawat pangkalan tentera Australia yang terpilih, mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti pendidikan dan kebudayaan serta penglibatan dalam dialog dan perbincangan.
Penerima-penerima anugerah pada tahun ini akan berlepas ke Australia bermula pada 30 November hingga 5 Disember.
Program itu bertujuan untuk membarigakan para pegawai tentang Australia, yang memfokuskan pada Angkatan Tentera Australia, keselamatan serantau dan kepentingan bersama.
Program seumpama itu diharap akan dapat mengeratkan hubungan antara kedua-dua angkatan tentera dan meningkatkan hubungan pertahanan dua hala antara Brunei Darussalam dan Australia.
Majlis penyampaian anugerah berkenaan adalah kali ketujuh diadakan sejak ia pertama kali diadakan pada 2018.