Sunday, September 15, 2024
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fatman Scoop rebah di atas pentas

    Penyanyi rap Amerika Syarikat (AS), Fatman Scoop meninggal dunia, demikian diumumkan oleh keluarga dan pengurusnya pada Sabtu, selepas artis berusia 53 tahun itu mengalami kecemasan perubatan ketika membuat persembahan di atas pentas.

    Scoop, yang terkenal dengan lagu-lagu hit seperti Be Faithful dan It Takes Scoop, rebah di atas pentas di Hamden Town Center Park, Connecticut. Dia kemudian dibawa ke hospital, namun doktor gagal menyelamatkannya, lapor media AS.

    Kakitangan perubatan dilaporkan cuba memberikan bantuan pernafasan semasa dia masih di atas pentas, menurut video kejadian yang diperoleh daripada laman berita selebriti, TMZ. Dia kemudiannya dibawa pergi dengan menggunakan pengusung.

    Dalam satu hantaran di akaun Instagramnya, keluarganya menulis bahawa ‘dengan kesedihan yang mendalam dan hati yang sangat berat, kami berkongsi berita tentang pemergian Fatman Scoop, artis legenda dan ikonik’.

    “Fatman Scoop dikenali di seluruh dunia sebagai suara kelab yang tidak dipertikaikan. Muziknya membuatkan kita menari dan menjalani kehidupan dengan penuh positif,” tulis mereka.

    Pengurus Scoop, Birch Michael mengesahkan kematiannya di Facebook, menulis, “Saya sayang awak Scoop. Terima kasih banyak atas segala yang awak berikan kepada saya.” – AFP

    Gambar fail mendiang Scoop semasa tiba di Anugerah Muzik Video MTV 2008 yang diadakan di Paramount Pictures Studio Lot di Los Angeles pada 7 September 2008. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda