Friday, September 20, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum bincang kelestarian industri halal

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui badan pelajar Halalan Thayyiban Student Society (HTSS) dari Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT) telah menganjurkan forum Local Go Global sempena Kempen Hari Bertindak (DoA), yang diadakan secara maya, baru-baru ini.

    Forum tersebut merupakan inisiatif HTSS untuk menjalankan hubungan kerjasama bersama Ikatan Siswa Siswi Akademi Halal (ISWAH) dari Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Samarahan, Sarawak.

    Hadir menyertai forum selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah di PPHT, UNISSA, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim.

    Turut hadir ialah ahli-ahli tenaga akademik dan pelajar dari kedua-dua universiti berkenaan.

    Pengiran Dr Hajah Norkhairiah berkata, bagi mencapai masa depan yang mampan, ia melibatkan usaha kolektif daripada individu, komuniti, perniagaan dan kerajaan, dan beliau percaya dengan inisiatif forum itu, generasi muda akan berpeluang melontarkan idea kreatif dan inovatif mereka ke arah matlamat itu, memberikan pendapat mereka tentang inovasi dan komitmen untuk membina dan mengurus industri halal ke arah masa depan yang lebih mampan.

    Ucapan alu-aluan daripada Pengiran Dr Hajah Norkhairiah selaku tetamu kehormat pada forum secara maya berkenaan. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    Ahli-ahli panel dan moderator yang terdiri daripada pelajar-pelajar UNISSA dan UiTM. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    GAMBAR SERAHAN UNISSA

    “Saya yakin program ini akan menyediakan platform kepada pelajar, khususnya yang menyertai program ini, untuk menimba ilmu dan menggalakkan mereka menjadi pemikir kritis.

    “Selain itu, saya percaya program ini akan menggalakkan pengkajian persekitaran dan penyelidikan dalam kalangan ahli panel bagi menjana idea cemerlang, inovatif dan kreatif yang selaras dengan aspirasi negara untuk pembangunan industri halal serta maslahat bagi ummah,” tambahnya.

    Penganjuran forum itu juga bersempena dengan Kempen DoA sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2023 melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Forum bertujuan untuk membincangkan isu, cabaran dan kelestarian industri halal yang semakin berkembang dan mendapat perhatian masyarakat.

    Antara objektif yang ingin dicapai adalah untuk mendukung inisiatif kerajaan dalam mengadakan program atau aktiviti bersempena dengan Kempen Hari Bertindak.

     Melalui forum yang dilaksanakan itu juga membolehkan pelajar atau mahasiswa untuk membincangkan isu semasa berkaitan kedayatahanan industri halal dari pelbagai perspektif dan menerapkan konsep Quality of Education yang terdapat dalam matlamat pembangunan mampan (SDG).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda