Pelakon Gong Yoo mendedahkan berasa kurang yakin apabila terpaksa melakonkan babak mandi menerusi drama terbaharunya berjudul The Trunk.
Memetik laporan Pinkvilla, Gong Yoo memberitahu dia terpaksa mengamalkan diet selama dua minggu bagi mendapatkan tubuh badan menawan semata-mata untuk menjayakan babak tersebut.
“Oleh kerana badan saya tidak mempunyai abs (otot), saya terpaksa bekerja keras dalam masa yang singkat.
“Saya terpaksa berdiet selama dua minggu untuk adegan itu,” katanya.
Malah aktor drama Goblin ini turut memberitahu dia lebih bimbang untuk melakonkan babak mandi berbanding aksi ranjang bersama gandingan pelakon wanita Seo Hyun Jin, lapor mStar.
“Saya lebih bimbang untuk melakonkan aksi mandi berbanding adegan di ranjang,” ujarnya.
Untuk info, The Trunk mengisahkan tentang In Ji (lakonan Hyun Jin) bekerja sebagai ‘isteri kontrak’ untuk agensi NM, sebuah syarikat yang menyediakan pasangan untuk perkahwinan kontrak selama setahun.
In Ji kemudiannya bertemu dengan Jung Won (Gong Yoo) yang juga menggunakan khidmat agensi kahwin kontrak tersebut. Hidup Jung Won dipenuhi dengan kesunyian akibat masa lalu dan masih merindui bekas isterinya iaitu Seo Yeon.
Selain Gong Yoo dan Hyun Jin, The Trunk turut dibintangi oleh Jung Yun Ha, Kim Dong Won, Jo Yi Geon dan Uhm Ji Won. – Agensi